
KUALA LUMPUR, 10 November – Malaysia perlu meningkatkan keupayaan membangunkan dan menghasilkan teknologi tempatan, sekali gus memperkukuh kapasiti perindustrian dan meningkatkan daya saing negara di peringkat global.
- Beralih daripada pengguna kepada pembangun teknologi sendiri untuk menyesuaikan inovasi mengikut keperluan serta persekitaran negara.
- Perkukuh kerjasama kerajaan dan swasta melalui pemindahan teknologi, pembangunan industri dan latihan bagi mengkomersialkan teknologi tempatan.
- Sediakan akses pengetahuan, latihan dan peluang perniagaan untuk kontraktor tempatan serta latih tenaga kerja dalam reka bentuk digital, automasi dan robotik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan dengan keupayaan domestik penting bagi memastikan teknologi yang diterima pakai dapat disesuaikan dengan keperluan serta persekitaran negara.
“Inisiatif ini amat penting kerana ia membuktikan keupayaan Malaysia melangkaui sekadar mengguna pakai teknologi, sebaliknya beralih ke arah membangunkan keupayaan teknologi sendiri.
“Kita mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang bukan sekadar mengimport dan menjadi pengguna teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara hari ini.
Sehubungan dengan itu, beliau menyambut baik usaha Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) meneroka teknologi cetakan konkrit tiga dimensi (3D) bagi memperkukuh keupayaan teknologi tempatan.
Kerjasama kerajaan dan sektor swasta perlu diperkukuh melalui pemindahan teknologi, pembangunan industri serta latihan kemahiran bagi membolehkan syarikat tempatan terlibat secara aktif dalam pembangunan dan pengkomersialan teknologi.
Beliau turut menegaskan bahawa kontraktor tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu diberikan akses kepada pengetahuan, latihan dan peluang perniagaan supaya tidak ketinggalan dalam transformasi industri pembinaan.
Menurut beliau, tenaga kerja sektor itu juga perlu dilengkapi kemahiran dalam bidang reka bentuk digital, automasi, pembuatan termaju dan robotik bagi
memenuhi keperluan industri masa hadapan.