
KUALA LUMPUR, 10 November – Keperluan tenaga bagi pusat data perlu diurus secara berasingan daripada penggunaan isi rumah dan industri sedia ada bagi memastikan bekalan elektrik negara kekal mencukupi.
- Penilaian TNB terhadap kapasiti, margin rizab dan keperluan penghantaran akan menjadi faktor utama dalam kelulusan pembangunan pusat data.
- 27 projek diluluskan dengan pengaturan bekalan luar grid digalakkan membina penjana sendiri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada grid.
- Pilihan sumber termasuk penjanaan gas, tenaga solar, hidroelektrik dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
- 117 pusat data diluluskan dengan permintaan maksimum dianggarkan 23,500 MW; 55 beroperasi, 19 pembinaan, 16 belum bermula; 24 permohonan baharu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan permintaan tenaga yang tinggi daripada pusat data tidak menjejaskan kapasiti bekalan elektrik yang diperlukan untuk menyokong sektor ekonomi lain.
“Pemisahan ini penting bagi memastikan permintaan tenaga yang tinggi daripada pusat data tidak menjejaskan kapasiti bekalan elektrik yang diperlukan oleh sektor ekonomi lain.
“Sehubungan itu, penilaian Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap kapasiti bekalan elektrik sedia ada, margin rizab serta keperluan sistem penghantaran akan terus menjadi antara pertimbangan utama dalam proses kelulusan pembangunan pusat data pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan pada Siri Sektoral Invest Malaysia: Memacu Era AI – Apa Seterusnya dalam Keperluan Tenaga? di sini hari ini.
Tambah beliau, 27 projek pusat data yang diluluskan dengan pengaturan bekalan tenaga di luar grid digalakkan untuk membangunkan kemudahan penjanaan elektrik sendiri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada grid sedia ada.
“Antara pilihan yang boleh digunakan termasuk penjanaan elektrik berasaskan gas, tenaga solar dan hidroelektrik, selain sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
“Pendekatan itu bukan sahaja dapat mempelbagaikan sumber bekalan tenaga, malah membantu mengurangkan kebergantungan kepada grid elektrik sedia ada.” katanya lagi.
Dalam pada itu, katanya, sebanyak 117 pusat data telah diluluskan di Malaysia dengan jumlah permintaan maksimum bekalan elektrik dianggarkan mencecah 23,500 megawatt (MW).
Daripada jumlah itu, 55 pusat data sudah beroperasi, 19 lagi sedang dalam pembinaan, manakala 16 projek pula telah mendapat kelulusan tetapi belum memulakan pembinaan.
Sementara itu, 27 pusat data lain yang berada pada pelbagai peringkat pembangunan turut diluluskan dengan pengaturan bekalan tenaga di luar grid.
Manakala, kira-kira 24 permohonan baharu pembangunan pusat data masih dalam proses pertimbangan kerajaan.