Fahmi Fadzil zahir ucapan takziah kepada keluarga Seniwati Maria Menado

Foto Facebook Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 30 April – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga seniwati Datuk’ Seri Maria Menado yang telah kembali ke rahmatullah akibat sakit tua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fahmi menyifatkan Maria sebagai sebahagian daripada sejarah penting industri seni, memberi sumbangan besar dalam dunia lakonan.
  • Lakonan ikonik beliau dalam filem Pontianak 1957 mencipta fenomena dan menjadi perintis kepada genre seram tempatan.
  • Pergi beliau adalah kehilangan bukan hanya seorang pelakon tetapi juga sebahagian daripada sejarah dan kenangan industri seni kita.

Beliau menyifatkan Allahyarhamah, atau nama sebenarnya Maria Abdullah, sebagai sebahagian daripada sejarah penting industri seni yang telah memberikan sumbangan besar sepanjang penglibatannya dalam dunia lakonan sekitar era 1950-an hingga awal 1960-an.

“Semoga segala jasa dan sumbangannya menjadi amal yang berpanjangan,” ujar beliau dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Menurut Fahmi, lakonan ikonik Allahyarhamah dalam filem Pontianak pada tahun 1957 bukan sahaja mencipta fenomena, malah menjadi perintis kepada genre seram tempatan sehingga kini.

“Perginya beliau bukan sekadar kehilangan seorang pelakon, tetapi juga sebahagian daripada sejarah dan kenangan industri seni kita”, ujarnya menerusi hantaran berkenaan.

Allahyarhamah meninggal dunia pada 12.25 tengah hari tadi akibat sakit tua.

Dilahirkan pada 2 Februari 1932 di Minahasa, Sulawesi Utara dengan nama sebenar Liesbet Dotulong.

Allahyarham berhijrah ke Singapura dan menyertai Malay Film Productions dan Cathay-Keris Film Productions.

Lakonan Allahyarham di dalam filem Pontianak pada 1957 menaikkan namanya sebaris dengan bintang-bintang filem Melayu era 50 dan 60-an.