
KUALA LUMPUR, 30 April -Jenazah seniwati legenda, Allahyarham Datuk Seri Maria Menado, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara sekitar pukul 6.30 petang tadi.
- Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.25 tengah hari di Hospital KPJ Damansara akibat sakit tua.
- Dilahirkan di Manado pada 2 Februari 1932, beliau dikenali sebagai 'Wanita Paling Cantik di Malaya' dan perintis filem seram.
- Beliau membintangi lebih 20 filem dan menjadi antara wanita pertama menceburi penerbitan melalui Maria Menado Productions.
- Jasa beliau diiktiraf dengan Anugerah Seniwati Veteran FFM ke-23 (2010) dan darjah kebesaran Datuk Seri oleh Sultan Pahang (2017).
Allahyarham, 94, atau nama sebenarnya Maria Abdullah, sebelum itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.25 tengah hari di Hospital KPJ Damansara akibat sakit tua.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan tanah perkuburan apabila hampir lebih 100 ahli keluarga serta kenalan rapat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada ikon seni tersebut sebaik jenazah tiba pada pukul 6.15 petang.
Dilahirkan di Manado, Indonesia pada 2 Februari 1932, Allahyarham bukan sahaja dikenali sebagai “Wanita Paling Cantik di Malaya” pada era 1950-an, malah merupakan perintis genre filem seram menerusi filem ikonik Pontianak (1957).
Sepanjang penglibatannya dalam industri, Allahyarham membintangi lebih 20 filem dan melakar sejarah sebagai antara wanita pertama di Malaysia yang menceburi bidang penerbitan melalui Maria Menado Productions.
Jasa dan sumbangan besarnya telah diiktiraf menerusi pelbagai anugerah berprestij, antaranya Anugerah Seniwati Veteran pada Festival Filem Malaysia ke-23 (2010).
Pada tahun 2017, Allahyarham telah dianugerahkan darjah kebesaran oleh Sultan Pahang yang membawa gelaran Datuk Seri sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap legasi seni yang ditinggalkannya.
Allahyarham meninggalkan lima orang anak, 15 cucu dan tujuh cicit.