
KUALA LUMPUR, 30 April – Primadona legenda,Datuk Seri Maria Abdullah atau Maria Menado bukan sahaja diingati sebagai pelakon berkaliber, malah merupakan tokoh seni yang mementingkan disiplin dan profesionalisme tinggi sepanjang hayatnya.
- Pesannya agar artis sentiasa jaga penampilan dan imej, meninggalkan kesan mendalam kepada generasi pelapis.
- Dihargai kerana kebijaksanaan sebagai penerbit filem dan kebolehan mentadbir kehidupan keluarga dengan baik.
- Meninggal selepas dua minggu di ICU akibat strok kedua; keluarga syukur atas bantuan masyarakat, pihak Islam dan Angkatan Tentera.
Rakan keluarga, Datuk Seri Shah Reza menyifatkan pemergian arwah sebagai kehilangan besar buat industri seni tanah air, memandangkan beliau sering menekankan kepentingan menjaga penampilan dan imej sebagai seorang artis kepada generasi pelapis.
“Arwah selalu pesan, sebagai artis kita perlu jaga penampilan kerana kita membawa imej sepanjang masa. Itu antara perkara yang saya sangat ingat,” katanya ketika berkongsi kenangan mengenai keperibadian Allahyarham yang penuh karisma.
Tambah Shah Reza, beliau turut mengagumi kebijaksanaan arwah yang juga merupakan seorang penerbit filem dalam mentadbir kehidupan keluarga dengan baik.
“Walaupun berasal dari era lama, arwah seorang yang berpelajaran dan mampu menjadi penerbit filem serta mentadbir kehidupannya dengan baik. Itu sangat mengagumkan,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan arwah sebagai seorang yang disenangi seluruh keluarga, termasuk dalam kalangan ahli keluarga besar.
Terdahulu, anak keempat Allahyarham, Tengku Idris Sultan Abu Bakar, 60, memaklumkan ibunya menghembuskan nafas terakhir di hospital selepas dua minggu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat serangan strok kedua yang serius.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur apabila segala urusan sepanjang tempoh tersebut berjalan lancar.
“Alhamdulillah, berkat pertolongan orang ramai, keluarga, pihak Islam dan Angkatan Tentera, semuanya berjalan lancar. Mungkin ini memang rezeki untuk arwah,” ujarnya lagi.