Filem tempatan mampu perkukuh ekonomi pelancongan, kreatif negara

FOTO RTM

GEORGE TOWN, 28 April – Pengukuhan sektor ekonomi pelancongan dan kreatif negara mampu diperkasa menerusi sokongan berterusan terhadap produksi perfileman tempatan yang mengangkat identiti serta warisan negeri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Filem seperti 'Mamu The Movie' berpotensi mempromosikan keunikan Pulau Pinang melalui lensa industri kreatif.
  • Produksi tempatan menjadi platform terbaik mengetengahkan karya dan bakat muda tempatan ke persada lebih luas.
  • Pulau Pinang menawarkan lokasi bersejarah, lorong bermural dan gabungan warisan Timur Barat untuk memperkukuh ekosistem kreatif negeri.

EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, penerbitan filem tempatan seperti ‘Mamu The Movie’ berpotensi menjadi medium berkesan dalam mempromosikan keunikan Pulau Pinang melalui lensa industri kreatif.

“Usaha ini bukan sahaja mampu memperkenalkan kekayaan warisan negeri, malah menjadi platform terbaik mengetengahkan karya serta bakat muda tempatan ke persada lebih luas.

“Di Pulau Pinang, kita mempunyai pelbagai lokasi menarik termasuk bangunan bersejarah, lorong belakang bermural dan gabungan warisan Timur serta Barat. Saya melihat penganjuran ini sebagai usaha memperkukuh ekosistem kreatif kita, khususnya di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Bacaan Skrip Filem ‘Mamu The Movie’ di sini.

Filem arahan Zulkifli Abu Hassan terbitan PBfilms Sdn Bhd itu menelan kos pembikinan mencecah RM2 juta.

Menampilkan barisan pelakon popular seperti Saiful Apek, Wan Raja, Didie Alias dan Bell Ngasri, filem berkenaan dijadual menemui penonton di pawagam pada 22 Disember 2026.