
KUALA LUMPUR, 27 Mei –Sebanyak 72 ekor lembu korban telah diagihkan di kawasan Parlimen Lembah Pantai tahun ini melibatkan masjid, surau, persatuan penduduk dan Rukun Tetangga.
- Dua ekor disumbangkan kepada RTM dan 17 ekor dikorbankan melalui program RTM di Angkasapuri.
- Ibadah korban Aidiladha menjadi platform memperkukuh ukhuwah dan semangat kebersamaan antara warga kerja, komuniti dan agensi.
- Program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai melibatkan kerjasama parti komponen kerajaan dan mengeratkan hubungan silaturahim.
- Inisiatif diselaraskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan JPM mendapat sambutan menggalakkan dan membantu meringankan beban kos sara hidup.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah itu, dua ekor lembu disumbangkan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), manakala 17 ekor lembu lagi dikorbankan menerusi program korban RTM yang berlangsung di Angkasapuri.
Beliau berkata, program ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha terus menjadi platform dalam memperkukuh ukhuwah serta semangat kebersamaan antara warga kerja, komuniti dan agensi kerajaan.
“Program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai turut melibatkan kerjasama parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan dan berjaya menjadi medium mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
“Saya amat berbangga dapat bersama-sama membantu aktiviti melapah dan kerja sukarelawan bersama warga RTM. Program seperti ini mampu membentuk semangat kerja berpasukan serta merapatkan hubungan sesama warga kerja,” katanya kepada pemberita elepas menghadiri program korban perdana di Masjid Muhammadi, Angkasapuri, hari ini.
Datuk Fahmi turut menghargai inisiatif kerajaan menerusi program korban yang diselaraskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, yang menurutnya mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat.
Sementara itu, Ketua Pengarah RTM, Ashwad Ismail menyifatkan penganjuran ibadah korban tahun ini sebagai kesinambungan legasi RTM dalam menyantuni masyarakat menerusi penglibatan pelbagai pihak termasuk Kementerian Komunikasi dan Pejabat Perdana Menteri.
“Program berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada warga RTM dan penduduk sekitar Angkasapuri, malah membantu golongan yang memerlukan dalam suasana ekonomi yang mencabar ketika ini,” katanya.
Menurutnya, pelbagai inisiatif kerajaan termasuk program bantuan korban mampu membantu masyarakat menyambut Aidiladha dalam suasana sederhana, di samping meringankan beban kos sara hidup yang semakin mencabar.