
ALOR SETAR, 27 Mei– Pertubuhan kebajikan THB Soup Kitchen dengan kerjasama aktivis kemanusiaan Datin Ellis Suriyati Omar hari ini menyediakan hidangan percuma dan sumbangan harian buat 150 warga setempat yang kurang berkemampuan bagi menyemarakkan sambutan bersempena Aidiladha.
- Program menyantuni gelandangan, warga emas sebatang kara, penganggur dan OKU daripada pelbagai bangsa serta agama.
- Penerima diagihkan barangan keperluan harian untuk meringankan beban kos sara hidup mereka.
- Naib Pengerusi menyatakan penghargaan terhadap keprihatinan dan sokongan berterusan Datin Ellis Suriyati dalam usaha kebajikan.
- THB Soup Kitchen ditubuhkan 2017 dengan visi tiada insan patut hidup dalam kelaparan; beroperasi Ahad hingga Khamis malam.
Program yang berlangsung di premis THB Soup Kitchen itu menyantuni pelbagai lapisan masyarakat kurang bernasib baik di sekitar bandar raya berkenaan termasuk gelandangan, warga emas sebatang kara, penganggur, serta orang kurang upaya (OKU) daripada pelbagai bangsa dan agama.
Selain menikmati jamuan bersempena Hari Raya Aidiladha, kesemua penerima turut diagihkan dengan sumbangan berupa barangan keperluan harian bagi meringankan beban kos sara hidup mereka.
Naib Pengerusi THB Soup Kitchen Datuk Dr. Cheng Joo An melahirkan penghargaan yang mendalam atas keprihatinan, kemurahan hati, serta sokongan berterusan yang diberikan oleh Datin Ellis Suriyati terhadap usaha kebajikan komuniti di negeri ini.
Datin Ellis Suriyati merupakan wanita pertama dari Asia Tenggara yang pernah memegang jawatan bertaraf antarabangsa sebagai Pengarah Antarabangsa Lions Club International sesi (2008-2010), dan amat dikenali dalam bidang kepimpinan kemanusiaan serta bantuan bencana.
Menurut Dr. Cheng, THB Soup Kitchen yang mula ditubuhkan pada Disember 2017 dipengerusikan oleh Tunku Bendahara Kedah Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Bergerak aktif dengan visi “tiada insan patut hidup dalam kelaparan”, premis berkenaan beroperasi lima hari seminggu iaitu dari Ahad hingga Khamis bermula pukul 6.00 petang hingga 8.00 malam bagi hidangan makanan percuma kepada golongan memerlukan.
THB Soup Kitchen turut menawarkan perkhidmatan sokongan lain termasuk khidmat gunting rambut percuma serta agihan pakaian terpakai.