
ATHENS, 2 Mei – Aktivis Flotila Sumud Global (GSF) 2.0 mendedahkan mereka berdepan penganiayaan semasa ditahan oleh tentera Israel.
- Aktivis dakwa dipaksa tidur di lantai dibanjiri air, dipukul, tangan diikat, serta ditendang, ditumbuk dan diseret semasa ditahan.
- Seorang aktivis tunjuk kecederaan; hidung mungkin patah, tulang rusuk sakit teruk dan mungkin patah.
- Lebih 100, dilaporkan 178 aktivis dipindahkan ke Crete dan dihantar pulang selepas tentera Israel merampas kapal bantuan di perairan antarabangsa.
“Kami dipaksa tidur di atas lantai yang dibanjiri air termasuk dipukul beberapa kali. Tangan kami juga diikat ke belakang,” jelas aktivis yang tidak dinamakan.
Seorang lagi aktivis menceritakan detik ketika didera sambil menunjukkan kecederaan pada hidung.
“Jika anda dapat lihat, hidung saya mungkin patah. Tulang rusuk saya sakit teruk dan mungkin juga patah,” katanya lagi.
Aktivis itu juga berkata dia ditendang, ditumbuk dan diseret ke atas lantai semasa mereka ditahan.
Dalam pada itu, tiada sebarang komen dikeluarkan Israel mengenai dakwaan penganiayaan berkenaan.
Terdahulu, lebih 100 aktivis GSF 2.0 di atas bot yang membawa bantuan kemanusiaan menuju ke Gaza sedang dipindahkan ke sebuah lapangan terbang di Crete untuk dihantar pulang ke negara asal masing-masing, selepas tentera Israel merampas kapal mereka di perairan antarabangsa berhampiran Greece.
Media melaporkan, seramai 178 aktivis dari pelbagai negara telah dibawa ke Kampung Atherinolakkos di Lasithi, timur Crete sebelum dibawa ke Lapangan Terbang Heraklion menaiki bas.
Dari lapangan terbang berkenaan, para aktivis tersebut akan dihantar pulang ke negara masing-masing.