
SANTIAGO, 2 Mei – Sambutan Hari Pekerja Antarabangsa di Chile bertukar ganas apabila sekumpulan penunjuk perasaan merosakkan bangunan dan infrastruktur awam.
- Polis melepaskan meriam air dan gas pemedih mata untuk mengawal penunjuk perasaan semasa perarakan kesatuan dan pertubuhan sosial.
- Penunjuk perasaan mendakwa hak pekerja terancam bawah kepimpinan Presiden Jose Antonio Kast dan kerajaan baharu.
- Perarakan berlaku ketika kerajaan dan Kesatuan Pekerja Pusat berbincang mengenai cadangan kenaikan gaji minimum sekitar $600.
Polis terpaksa melepaskan meriam air dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan bagi mengawal keadaan ketika kesatuan sekerja dan pertubuhan sosial berarak pada Jumaat.
Menurut laporan media tempatan, seorang penunjuk perasaan mendakwa hak pekerja semakin terancam di bawah kepimpinan Presiden Chile, Jose Antonio Kast.
Kast, Presiden ke-38 menjawat jawatan berkenaan sejak 11 Mac lalu merupakan pengasas Parti Republik Chile (sayap kanan).
“Protes itu berlaku ketika kerajaan dan Kesatuan Pekerja Pusat sedang berbincang untuk menaikkan gaji minimum kira-kira $600,” lapor media.
Salah seorang penunjuk perasaan, Catalina Provoste berkata para pekerja kini sedang berhadapan situasi sukar termasuk diabaikan.
“Saya fikir kita sedang menghadapi senario buruk, satu senario yang sangat agresif terhadap hak pekerja,” katanya.
“Kami menyambut Hari Pekerja Antarabangsa dengan perpaduan dan dengan kekal di jalanan. Hari ini, Chile menghadapi krisis yang semakin teruk dengan kerajaan baharu,” jelas Luis Espinoza, salah seorang peserta protes.