Krisis Asia Barat: China mahu gencatan senjata kekal

Foto AFP


NEW YORK, 2 Mei – Isu di Selat Hormuz dan pengekalan gencatan senjata susulan perang Iran akan menjadi topik utama dalam agenda pertemuan dua hala antara Beijing-Washington, yang dijadual berlangsung bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • China tekankan agar Selat Hormuz dibuka semula secepat mungkin.
  • Beijing mahu gencatan senjata dikekalkan secara berpanjangan dan rundingan dijalankan berasaskan niat baik.
  • Fu meminta Iran tarik balik sekatan di Selat Hormuz dan AS tarik balik sekatan tentera lautnya.
  • Beijing menolak dakwaan kerjasama ketenteraan China-Iran yang didakwa oleh beberapa pegawai AS.

Duta Besar China ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong menyatakan keyakinan bahawa isu Selat Hormuz akan menjadi agenda penting apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hadir ke China.

Fu menegaskan, selat itu perlu dibuka semula secepat mungkin.

“Beijing amat prihatin terhadap kenyataan yang didengarinya baru-baru ini mengenai gencatan senjata itu yang dikatakan bersifat sementara termasuk keperluan untuk memulakan satu lagi serangan,” katanya.

“Iran perlu menarik balik sekatannya di Selat Hormuz dan AS perlu menarik balik sekatan tentera lautnya.

Isu paling mendesak ialah mengekalkan gencatan senjata serta tindakan itu perlu berpanjangan termasuk perlunya rundingan berasaskan niat baik antara kedua-dua pihak,” kata beliau lagi.

Fu juga menolak dakwaan beberapa pegawai AS mengenai kerjasama ketenteraan antara China dan Iran yang disifatkan tidak benar.