Kai Wun serasi dengan pelbagai pasangan

Tee Kai Wun bergandingan dengan beberapa pemain berbeza di Piala Thomas 2026 – RTM

SEPANG, 3 Mei – Pemain beregu lelaki negara, Tee Kai Wun menyifatkan peluang beraksi bersama pasangan berbeza di Piala Thomas 2026 sebagai pengalaman berharga untuk meningkatkan tahap permainannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bergandingan dengan Man Wei Chong, Soh Wooi Yik dan Aaron Chia dalam kempen Kumpulan B.
  • Situasi memerlukan penyesuaian pantas untuk memahami corak permainan setiap pasangan.
  • Dipilih jurulatih menunjukkan kepercayaan terhadap keupayaan memikul tanggungjawab.
  • Pemain serba boleh; mampu beraksi di depan dan belakang, sentiasa cuba beri aksi terbaik.

Sepanjang kempen Kumpulan B, Kai Wun memainkan peranan penting apabila bergandingan dengan beberapa rakan berbeza termasuk Man Wei Chong, Soh Wooi Yik dan Aaron Chia.

Menurutnya, situasi itu memerlukan penyesuaian pantas terutama dalam memahami corak permainan setiap pasangan.

Kai Wun bergandingan dengan Man Wei Chong dalam aksi Kumpulan B Piala Thomas 2026 – BAM

“Sebagai pemain, kita memang sentiasa bersedia menghadapi situasi seperti ini.

“Bukan semua mampu melakukannya, jadi apabila jurulatih memilih kita, itu bermakna mereka percaya kita mempunyai keupayaan untuk memikul tanggungjawab tersebut,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Horsens, Denmark.

Pengalaman tersebut menurutnya membantu meningkatkan keupayaan bermain di pelbagai posisi selain membentuk dirinya menjadi pemain lebih versatil.

“Bagi saya, kelebihan sebagai pemain ‘all-rounder’ membolehkan saya beraksi di bahagian depan dan belakang.

“Jadi tidak kira siapa pasangan, saya akan cuba berikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya.