Khairul Anuar raih perak Barebow Asia 2026

Khairul Anuar Mohamad, berjaya meraih pingat perak dalam kategori Terbuka Lelaki di Kejohanan Memanah Barebow Asia 2026 – RTM

SHAH ALAM, 3 Mei – Jaguh memanah negara, Khairul Anuar Mohamad, berjaya meraih pingat perak dalam kategori Terbuka Lelaki di Kejohanan Memanah Barebow Asia 2026 yang di Kompleks Sukan Panasonic, di sini pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tewas kepada pemanah China Liu Xing 2-6 dalam aksi akhir.
  • Masih bergelut dengan aspek teknikal selepas beralih ke Barebow dua tahun lalu.
  • Masalah utama ialah 'aiming drop' dan sukar diperbaiki kerana rekaan dan berat limb bawah.
  • Pasukan lelaki memecah rekod dunia acara berpasukan; pencapaian besar untuk komuniti Barebow Malaysia.

Khairul yang mewakili pasukan Malaysia A, terpaksa akur kepada pemanah China, Liu Xing, dalam aksi final yang berkesudahan dengan keputusan 2-6.

Beliau mengakui masih bergelut dengan aspek teknikal selepas beralih ke Barebow sejak dua tahun lalu.

Pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad – RTM

“Secara peribadi, saya rasa boleh buat lebih baik lagi. Masalah utama yang saya hadapi sejak dua hari lepas adalah ‘aiming drop’.

“Barebow ini sangat mencabar kerana berat busurnya tertumpu di bawah dan limb bawahnya lebih kuat. Sekali ‘aiming’ kita jatuh, memang sukar untuk diangkat semula.

“Selepas hampir 20 tahun dalam disiplin recurve, Barebow adalah satu proses pembelajaran yang berterusan buat saya, terutama dalam mencari keseimbangan setup busur yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Meskipun sekadar berpuas hati dengan pingat perak individu, atlet berusia 35 tahun itu menyifatkan kejohanan kali ini sebagai satu pencapaian besar buat skuad Barebow negara.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati kerana pasukan lelaki kita berjaya memecahkan rekod dunia untuk acara berpasukan.

“Ini adalah satu kejayaan luar biasa bagi komuniti Barebow Malaysia,” katanya.