Hampir 800 peserta sertai Kejohanan Silat Pantai Antarabangsa Labuan 2026

Sempena Cabaran Sukan Laut Antarabangsa Labuan (LISC) 2026

LABUAN, 1 Mei – Hampir 800 peserta dari dalam dan luar negara menyertai Kejohanan Silat Pantai Antarabangsa Labuan 2026 yang berlangsung sempena Cabaran Sukan Laut Antarabangsa Labuan (LISC) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejohanan berlangsung di Pantai Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan dan diteruskan sehingga Ahad, merekodkan penyertaan tertinggi berbanding penganjuran sebelumnya.
  • Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail kata peningkatan penyertaan cerminkan minat silat terutama dalam kalangan BIMP-EAGA.
  • Perasmian disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain; hadir Ahli Parlimen Labuan dan Yang Dipertua PESAKA.
  • Kejohanan tawar hadiah keseluruhan RM15,000; peserta termuda lapan tahun; dua kategori: Terbuka serta Jurus Bebas dan Jurus Ganda.

Kejohanan yang berlangsung di Pantai Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan itu akan diteruskan sehingga Ahad dan merekodkan jumlah penyertaan tertinggi berbanding penganjuran sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata, peningkatan penyertaan itu mencerminkan minat yang semakin berkembang terhadap sukan silat, khususnya dalam kalangan peserta dari rantau BIMP-EAGA yang melibatkan Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina.

“Penyertaan kali ini amat menggalakkan dan saya percaya lebih ramai peserta akan menyertai kejohanan ini pada masa akan datang. Labuan juga disasarkan sebagai hab sukan pelancongan di Borneo dan negara ini.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian kejohanan yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Turut hadir, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman dan Yang Dipertua PESAKA Labuan, Mohd Khairul Ghani.

Kejohanan berkenaan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM15,000.

Pada edisi kali ini, peserta termuda yang mengambil bahagian berusia lapan tahun.

Dua kategori dipertandingkan iaitu Kategori Terbuka serta Kategori Jurus Bebas dan Jurus Ganda.