
ATHENS, 1 Mei – Aktivis yang menyertai flotila bantuan menuju Gaza tiba di pulau Crete, Greece pada Jumaat selepas kapal mereka dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa berhampiran pulau itu, menurut seorang wartawan AFP.
- Israel melaporkan sekitar 175 aktivis ditahan, penganjur mendakwa 211 orang, dari lebih 20 kapal.
- Flotila lebih 50 kapal berlepas dari Marseille, Barcelona dan Syracuse bertujuan memecah sekatan Gaza serta menghantar bantuan kemanusiaan.
- Sepanyol tuntut pembebasan warganya; Turki atur pemulangan sekitar 20 rakyat; Eropah kecam, AS anggap aksi provokasi.
Dengan pengiring pengawal pantai Greece, kira-kira 175 aktivis majoritinya warga Eropah dibawa menaiki bas ke pelabuhan Atherinolakkos di tenggara Crete sebelum dipindahkan ke bandar Heraklion.
Ketika menghampiri pelabuhan, aktivis dilaporkan melaungkan “Bebaskan Palestin”.
Kementerian Luar Israel sebelum ini memaklumkan kira-kira 175 aktivis ditahan daripada lebih 20 kapal oleh tentera negara itu, manakala penganjur flotila mendakwa jumlah sebenar yang ditahan ialah 211 orang.
Sepanyol menuntut pembebasan segera salah seorang warganya yang ditahan, manakala Turki memaklumkan kira-kira 20 rakyatnya akan dihantar pulang bersama beberapa peserta dari negara ketiga.
Flotila yang terdiri daripada lebih 50 kapal itu berlepas dari Marseille, Barcelona dan Syracuse dengan tujuan memecahkan sekatan ke atas Gaza serta menghantar bantuan kemanusiaan.
Israel mengawal semua laluan masuk ke Gaza dan berdepan kritikan antarabangsa berhubung sekatan yang menyebabkan kekurangan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api sejak perang dengan Hamas bermula pada Oktober 2023.
Jurucakap Kementerian Luar Israel, Oren Marmorstein menyifatkan flotila itu sebagai provokasi dan mendakwa ia cuba mengalih perhatian daripada konflik di Gaza.
“Semua aktivis kini berada di Greece kecuali dua individu yang akan dibawa ke Israel untuk siasatan,” katanya.
Beberapa negara Eropah mengecam tindakan Israel sebagai melanggar undang-undang antarabangsa, manakala Amerika Syarikat menyifatkan flotila itu sebagai “aksi provokasi” dan menyokong sekatan terhadapnya.-AFP