Kedudukan MB Negeri Sembilan harus dihormati

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Dakwaan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun oleh tiga sayap UMNO negeri itu disifatkan sebagai pandangan peribadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden UMNO tekankan sokongan BN terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan mesti dipatuhi semua ahli.
  • Keberadaan ADUN BN dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan adalah keputusan parti dan perlu dihormati.
  • Beliau membuat kenyataan selepas Majlis Penutup Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di WTCKL sempena ulang tahun UMNO ke-80.
  • Media laporkan tiga sayap UMNO Negeri Sembilan dakwa Menteri Besar gagal urus krisis termasuk isu institusi adat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, sokongan Barisan Nasional (BN) terhadap pentadbiran sedia ada bawah Kerajaan Perpaduan adalah pendirian rasmi parti yang mesti dipatuhi semua ahli.

“Kita yakin bahawa keberadaan ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) BN dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan adalah keputusan parti dan ia harus dihormati,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 bersempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN diminta mengulas mengenai tindakan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Negeri Sembilan yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar.

Media sebelum ini melaporkan, tiga sayap UMNO Negeri Sembilan mendakwa Menteri Besar gagal menguruskan beberapa krisis termasuk isu berkaitan institusi adat yang didakwa menjejaskan keharmonian pentadbiran.