
ATHENS, 1 Mei – Seramai 10 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dilaporkan telah dibebaskan selepas ditahan di perairan antarabangsa, dan kini berada di Pelabuhan Lera Petra di Kepulauan Crete, Greece.
- Turkiye menyediakan pesawat khas untuk membawa sebahagian aktivis dari Greece ke Istanbul.
- SNCC bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Negeri menyelaras pergerakan aktivis; penerbangan dijangka malam ini.
- Dua aktivis masih ditahan oleh pihak Israel; Global Sumud mengecam dan menuntut pembebasan segera.
Menurut Sumud Nusantara Command Center (SNCC), kesemua aktivis berkenaan dibebaskan di pelabuhan tersebut sebelum dibawa ke Lapangan Terbang Heraklion bagi urusan pemindahan pulang.
Kerajaan Turkiye menyediakan pesawat khas untuk membawa pulang sebahagian aktivis termasuk rakyat Malaysia, ke Istanbul.
SNCC memaklumkan kesemua 10 aktivis Malaysia dijadualkan menaiki penerbangan tersebut, dengan pelepasan dijangka pada malam ini waktu Malaysia.
Menurut SNCC, pihaknya kini bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Negeri bagi menyelaras pergerakan aktivis Malaysia dari Greece ke Istanbul.
Dalam perkembangan berkaitan, 21 daripada keseluruhan 22 bot misi telah dikenal pasti selamat dan kini berada di perairan Greece, manakala sebuah lagi bot dipercayai disabotaj dan terputus hubungan.
Pada 29 April, pasukan tentera laut Israel dilaporkan memintas dan merampas lebih 20 bot daripada flotila berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada konvoi 50 kapal.
Misi flotila itu dilancarkan bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, dengan kapal pertama berlepas dari Barcelona pada 12 April, diikuti armada utama dari Pulau Sicily, Itali pada 26 April.
Kira-kira 175 aktivis yang menaiki 22 bot telah ditahan berhampiran Pulau Crete sebelum dibebaskan, bagaimanapun dua aktivis masih ditahan oleh pihak berkuasa Israel, iaitu Saif Abu Keshek dan Thiago Ávila.
Pihak Global Sumud Flotilla mengecam tindakan penahanan berkenaan sebagai tidak sah serta menuntut pembebasan segera kedua-dua aktivis tersebut.
Beberapa negara Eropah turut dilaporkan mengecam tindakan tersebut yang disifatkan melanggar undang-undang antarabangsa.