Wanita harus diberi ruang luas dalam memimpin negara

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Golongan wanita yang merupakan aset strategik negara perlu diletakkan di barisan hadapan dalam menentukan hala tuju negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pencapaian pendidikan dan ekonomi wanita tinggi, namun penyertaan politik masih rendah dan tidak mencerminkan keupayaan sebenar mereka.
  • Perlu dasar intervensi yang jelas, terancang dan berterusan untuk mempertingkat peluang serta ruang kepimpinan bagi wanita.
  • Perkasakan melalui reformasi termasuk kuota dan insentif, perubahan struktur pencalonan parti, pembangunan kepimpinan sistematik dan transformasi budaya.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, wanita harus diberikan peluang dan ruang untuk mengetuai barisan kepimpinan memandangkan peningkatan penyertaan wanita tidak akan berlaku secara semula jadi, tanpa intervensi dasar yang jelas, terancang dan berterusan.

Menurut beliau, terdapat bukti jelas yang menunjukkan wanita mampu menceburi bidang kepimpinan dan menguasai persaingan ilmu.

“60 peratus jumlah pelajar di universiti merupakan golongan wanita, manakala penyertaan dalam tenaga buruh mencecah 56.6 peratus. Ini boleh dikatakan rekod yang tinggi di negara ini dan kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 60 peratus menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Forum Voices of HER di Pusat Dagangan Dunia di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr Noraini turut menekankan agar penglibatan wanita dalam politik negara diperkasakan melalui reformasi sistem yang lebih menyeluruh dan berstruktur bagi memastikan representasi yang lebih seimbang.

Katanya, penyertaan wanita dalam arena politik masih pada tahap rendah dan tidak mencerminkan keupayaan sebenar mereka, walaupun golongan itu mencatat pencapaian memberangsangkan dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

Beliau turut berkongsi empat mekanisme dalam usaha memperkasa wanita dalam bidang politik.

Pertama ialah penetapan kuota dan insentif dalam sistem pilihan rakyat, kedua: perubahan struktur pencalonan parti-parti politik dengan penanda aras yang jelas, ketiga: memperbanyakkan pembangunan kempimpinan yang sistematik dan akhir sekali transformasi budaya kefahaman dalam menentukan kelayakan seseorang pemimpin baharu.

“Kami mengharapkan agar forum ini mampu membuka mata rakyat dan segala cadangan yang diusulkan mampu mengukir perjuangan golongan wanita agar diberikan peluang untuk bersama-sama menjadi pemimpin negara Malaysia,” katanya.