‘Orang kata saya dah tak layak sebab tua’

Moraton Hassan, 88, berasal dari Muar, Johor bersama menantunya di Tanah Suci Mekah/Foto RTM

MEKAH, 23 Mei – “Orang kata saya dah tua, tidak layak pergi haji, tapi saya percaya Allah yang menentukan.”

RINGKASAN BERITA AI
  • Berjaya menjejakkan kaki ke Tanah Suci selepas berpuluh tahun menyimpan impian menunaikan haji.
  • Tangguh kerana utamakan anak dan masalah peneman, namun tidak berhenti berdoa dan mohon izin Tuhan.
  • Bukti bahawa usia bukan penghalang, kesihatan baik dan keluarga menyokong agar dapat sempurnakan wukuf serta haji mabrur.

Itu luahan jemaah haji tertua, Moraton Hassan, 88, berasal dari Muar, Johor yang akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke Tanah Suci selepas berpuluh tahun menyimpan impian menunaikan ibadah haji.

Pada usianya itu, ramai menganggap dirinya sudah terlalu tua untuk menunaikan haji.

Namun beliau membuktikan bahawa panggilan menjadi tetamu Allah bukan ditentukan manusia, sebaliknya dengan izin dan kehendak-Nya.

Ibu kepada lima anak itu berkata, hasrat untuk menunaikan Rukun Islam kelima sebelum ini terpaksa ditangguhkan kerana memberi keutamaan kepada anak-anak yang masih kecil selain kekangan mencari peneman.

Menurut Moraton, dia juga pernah berasa kecil hati apabila ada pihak mempertikaikan kemampuannya menunaikan ibadah haji pada usia lanjut.

“Orang kata saya dah tua, tak layak pergi. Tapi saya percaya kalau Tuhan jemput, dapatlah pergi. Alhamdulillah, akhirnya sampai juga ke Mekah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Warga emas itu mengakui pernah hampir berputus asa selepas beberapa kali membuat rayuan, namun tidak pernah berhenti berdoa dan melakukan solat hajat agar dipermudahkan perjalanan ke Tanah Suci.

Sementara itu, menantunya, Azizah Wahab, 50, berkata keadaan kesihatan Moraton berada pada tahap baik walaupun sudah menghampiri usia sembilan dekad.

Menurutnya, ibu mentuanya masih mampu bergerak aktif termasuk berjalan ke surau selain tidak mempunyai masalah kesihatan serius.

“Alhamdulillah, mak masih kuat. Cuma baru-baru ini batuk sedikit dan sudah dapat rawatan doktor,” katanya.

Azizah berkata, mereka sekeluarga kini berharap Moraton diberikan kekuatan untuk menyempurnakan kemuncak ibadah haji termasuk wukuf di Arafah dan memperoleh haji mabrur.

Kisah Moraton menjadi bukti bahawa usia bukan penghalang untuk menyahut panggilan Ilahi, selagi masih diberikan kesihatan, kekuatan dan keazaman untuk menjadi tetamu Allah di Tanah Suci.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.