Kerajaan perkenal Elaun Pasca Cuti Bersalin bantu wanita kekal bekerja

Gambar hiasan

BUKIT JALIL, 1 Mei – Wanita yang baru melahirkan anak bakal menerima sokongan tambahan menerusi cadangan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) bagi membantu mereka kekal dalam pasaran kerja selepas tamat tempoh cuti bersalin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dicadangkan melalui pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.
  • Elaun bagi cuti tambahan sehingga 30 hari selepas tamat cuti bersalin, dibayar sekali.
  • Faedah dicadangkan pada kadar 80% daripada gaji anggapan bulanan Orang Berinsurans wanita.
  • Dianggarkan memberi manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita dan membantu meningkatkan penyertaan tenaga buruh wanita.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, elaun itu merupakan bantuan kewangan bagi cuti tambahan sehingga sebulan selepas tamat cuti bersalin 98 hari.

Menurut beliau, kemudahan itu dicadangkan di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 menerusi pindaan kepada akta berkenaan.

“Elaun ini merupakan bantuan kewangan bagi cuti tambahan sehingga 30 hari yang diambil selepas tamat tempoh cuti bersalin 98 hari.

“Faedah ini dicadangkan pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan Orang Berinsurans wanita dan akan dibayar secara sekali beri,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja 2026 di Bukit Jalil, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita di seluruh negara.

Menurut beliau, kerajaan komited memperkasa wanita sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara.

Katanya, kadar penyertaan tenaga buruh wanita menunjukkan trend pengunduran kerjaya yang membimbangkan, terutama selepas fasa melahirkan anak.

“Kadar penyertaan wanita merosot daripada 78.9 peratus bagi kumpulan umur 25 hingga 29 tahun kepada 68.6 peratus bagi umur 35 hingga 39 tahun.

“Komitmen selepas bersalin dipercayai menjadi antara faktor utama penurunan ini,” katanya.

Beliau berkata, cadangan EPCB itu dijangka membantu lebih ramai wanita kembali bekerja di samping mengimbangi tuntutan kerjaya dan tanggungjawab keluarga.