HKL jelaskan paparan tular Jabatan Kecemasan seperti ‘zon perang’ hanya sementara

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengambil maklum dan prihatin terhadap paparan tular di media sosial pada 29 April lalu yang menggambarkan Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu seperti “zon perang”.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keadaan hanya sementara akibat kerja naik taraf Jabatan Kecemasan dan Trauma.
  • Perkhidmatan kesihatan terus berjalan seperti biasa, prinsip "no wrong door", semua pesakit diberi rawatan sewajarnya.
  • Projek naik taraf dijangka siap menjelang akhir tahun, termasuk penambahan kerusi dan penambahbaikan infrastruktur sementara.

Dalam satu kenyataan, pihak pengurusan HKL menjelaskan keadaan tersebut hanya bersifat sementara susulan kerja-kerja naik taraf yang sedang dilaksanakan di jabatan berkenaan.

Menurut HKL, projek itu merupakan perancangan strategik bagi meningkatkan kapasiti serta keselesaan pesakit susulan pertambahan jumlah kes yang diterima setiap hari.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan projek, Jabatan Kecemasan dan Trauma terpaksa beroperasi dalam kawasan yang dikurangkan sehingga 50 peratus, manakala baki ruang digunakan sebagai laluan kerja naik taraf,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, HKL menegaskan perkhidmatan kesihatan di jabatan tersebut terus berjalan seperti biasa dengan mengamalkan prinsip “no wrong door”, iaitu semua pesakit tetap menerima rawatan sewajarnya tanpa mengira keadaan.

HKL memaklumkan projek naik taraf berkenaan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Tambah pihak pengurusan, keadaan infrastruktur yang kelihatan uzur ketika ini hanyalah sementara, manakala usaha penambahbaikan termasuk penambahan kerusi untuk pesakit serta waris sedang dilaksanakan mengikut kapasiti ruang menunggu sedia ada.

HKL turut memberi jaminan bahawa operasi jabatan berjalan lancar dan setiap kes dirawat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dalam masa sama, pihak hospital merakamkan penghargaan atas keprihatinan masyarakat serta menegaskan komitmen untuk terus terbuka menerima sebarang cadangan penambahbaikan demi keselesaan semua pihak.