
BUKIT JALIL, 1 Mei – Akademi Semikonduktor KESUMA (ASK) akan ditubuhkan bagi melatih bakat tempatan dalam reka bentuk cip dan pembuatan berteraskan Kecerdasan Buatan (AI).
- Memastikan bekalan bakat berkemahiran tinggi berterusan bagi menyokong pelaburan syarikat teknologi tinggi.
- Berazam jadikan Malaysia pencipta dan peneraju ekosistem AI serta semikonduktor dengan label 'Made by Malaysia' di peringkat global.
- Memastikan agenda AI berpaksikan keadilan sosial melalui TVET Inklusif MADANI agar latihan dapat diakses golongan rentan dan pekerja gig.
Inisiatif itu sekali gus dilihat mampu memperkukuh rantaian nilai semikonduktor negara.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, inisiatif itu akan memastikan bekalan bakat berkemahiran tinggi kekal berterusan bagi menyokong pelaburan syarikat global utama dalam sektor berteknologi tinggi.
Beliau berkata, langkah itu selari dengan usaha negara untuk bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya muncul sebagai pencipta dan peneraju dalam ekosistem AI serta semikonduktor global.
“Malaysia juga tidak mahu sekadar ikut arus teknologi dunia. Kita mahu tentukan arah arus itu sendiri. Rancangan Malaysia ke-13 (RMKe-13) menetapkan hala tuju Malaysia sebagai Negara Kecerdasan Buatan atau Negara AI.
“Kita mahu label ‘Made by Malaysia’ terpampang pada litar bersepadu dan perisian AI di seluruh dunia. Bukan lagi sebagai pengguna teknologi. Kita mahu jadi pencipta,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja 2026 di UNIFI Arena di sini hari ini.
Tambah beliau, agenda AI negara juga perlu berpaksikan keadilan sosial supaya manfaat kemajuan teknologi dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berkata pelancaran TVET Inklusif MADANI (TiM) mampu memastikan latihan kemahiran tinggi dapat diakses secara lebih meluas, termasuk golongan rentan, generasi FELDA, Orang Asli, pelajar tahfiz dan pekerja gig.
Beliau turut menggesa warga pekerja agar terus meningkatkan kemahiran serta mempersiapkan diri dengan transformasi teknologi bagi mendepani cabaran era AI.