
ATHENS, 1 Mei- Kapal Flotila Sumud Global (GSF) yang dipintas secara haram oleh tentera Israel di perairan antarabangsa pada 29 April didakwa akan dibawa ke pantai Greece, manakala aktivis yang ditahan turut dijangka diturunkan di lokasi berkenaan.
- Penganjur menganggarkan 211 aktivis ditahan, termasuk seorang ahli majlis bandar Paris.
- Jurucakap GSF Perancis berkata pemintasan berlaku berhampiran Crete, jauh dari Gaza dan belum pernah berlaku sebelum ini.
- Kerajaan Itali dan Jerman nyatakan kebimbangan; Sepanyol mengecam dan memanggil wakil diplomatik Israel.
- Perancis mengesahkan 15 warganya ditahan; Ansa melaporkan Itali 24; Malaysia 10 aktivis turut di atas kapal.
Bilangan aktivis yang terlibat bagaimanapun tidak dinyatakan dengan jelas.
Sebelum ini, penganjur GSF menganggarkan seramai 211 ditahan oleh zionis termasuk seorang ahli majlis bandar Paris.
Jurucakap GSF Perancis, Helene Coron berkata operasi pemintasan kapal itu berlaku berhampiran pulau Crete di Greece pada jarak yang sangat jauh dari Gaza dan disifatkan belum pernah berlaku sebelum ini.
Seorang aktivis, Yasmine Scola pula mendakwa rakan-rakannya telah “diculik” oleh Israel, manakala Kerajaan Itali dan Jerman dalam kenyataan bersama menyatakan mereka mengikuti perkembangan itu “dengan kebimbangan mendalam”.
Sepanyol pula mengecam tindakan berkenaan dan memaklumkan telah memanggil wakil tertinggi diplomatik Israel di negara itu bagi menyatakan bantahan.
Sementara itu, Perancis mengesahkan 15 rakyatnya ditahan, manakala Itali menuntut pembebasan segera semua warganya yang ditahan secara tidak sah, dengan agensi berita Ansa melaporkan jumlah itu mencecah 24 orang.
Dalam pada itu, 10 aktivis kemanusiaan Malaysia dilaporkan turut berada di atas kapal yang dipintas dalam pelayaran ke Gaza. -AFP