
TEHRAN, 1 Mei – Ketua badan kehakiman Iran, Gholamhossein Mohseni Ejei menegaskan Tehran kekal terbuka untuk rundingan dengan Amerika Syarikat (AS), namun tidak akan menerima sebarang “paksaan dasar” di bawah ugutan.
- Iran kekal terbuka untuk rundingan dengan AS, namun menolak sebarang paksaan dasar di bawah ugutan.
- Tehran tidak menginginkan perang tetapi tidak akan berkompromi terhadap prinsip dan nilai negara demi elakkan konflik.
- Rundingan sebelum ini terhenti selepas AS kenakan sekatan laut; Tehran mengehadkan laluan di Selat Hormuz.
“Republik Islam tidak pernah menolak rundingan, tetapi kami sama sekali tidak menerima sebarang paksaan,” katanya dalam kenyataan video yang disiarkan laman Mizan Online.
Beliau turut menegaskan Iran tidak menginginkan perang atau kesinambungannya, namun tidak akan berkompromi terhadap prinsip dan nilai negara demi mengelakkan konflik.
Iran dan AS sebelum ini mengadakan satu pusingan rundingan ketika gencatan senjata rapuh selepas hampir 40 hari konflik yang tercetus pada 28 Februari.
Bagaimanapun, rundingan itu terhenti selepas AS mengenakan sekatan laut ke atas pelabuhan Iran, manakala Tehran terus mengehadkan laluan di Selat Hormuz dengan hanya membenarkan pergerakan kapal secara terhad.
Dalam perkembangan sama, Donald Trump dilaporkan bakal menerima taklimat mengenai kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran daripada Brad Cooper.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz turut memberi bayangan tindakan lanjut mungkin diambil bagi mencapai objektif perang.
Dalam mesej bertulis, pemimpin tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei menyifatkan AS mengalami “kekalahan memalukan” serta menegaskan Iran akan terus mempertahankan keupayaan nuklear dan peluru berpandu sebagai aset strategik negara.-AFP