
MAKKAH, 2 Mei – Di sebalik keghairahan menunaikan ibadah haji, ramai jemaah sebenarnya berdepan cabaran emosi yang tidak kurang hebat, terutama pada fasa awal
ketibaan di Tanah Suci.
- Bilik kaunseling sedia untuk jemaah hadir terus kepada kaunselor bagi sebarang kes.
- Kaunselor turun padang, lawatan bilik ke bilik untuk mengenal pasti jemaah yang mungkin memerlukan bantuan tetapi tidak tampil.
- Aktiviti seperti sudut kreatif diperkenalkan untuk mengisi masa dan mengurangkan tekanan serta mengeratkan hubungan antara jemaah.
Pengurus Kaunseling Musim Haji 1447H, Azlina Abdul Hamid berkata perubahan mendadak dari segi cuaca, rutin harian dan persekitaran menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi emosi jemaah.
Menurutnya, jemaah khususnya yang pertama kali menjejakkan kaki ke luar negara atau ke Tanah Suci lazimnya akan melalui fasa cemas, teruja, rindukan keluarga dan tidak kurang juga berasa ‘hilang arah’.
” Di sini, kami menyediakan satu bilik kaunseling kepada mereka yang memerlukan khidmat berkenaan melibatkan apa jua kes. Boleh hadir terus untuk bertemu kaunselor bertugas,” katanya.
Jelas Azlina, antara cabaran yang sering timbul di kalangan para jemaah adalah hubungan antara rakan sebilik yang datang daripada latar belakang berbeza.
“Perbezaan budaya, cara hidup dan komunikasi boleh mencetuskan salah faham jika tidak dikendalikan dengan baik,” jelas beliau lagi.
Selain sesi kaunseling, pendekatan turun padang turut dilaksanakan termasuk lawatan dari bilik ke bilik bagi mengenal pasti jemaah yang mungkin memerlukan bantuan tetapi tidak tampil secara terbuka.
“Kerinduan terhadap keluarga dan perubahan gaya hidup daripada sibuk kepada lebih lapang juga antara punca tekanan emosi,” beliau menambah.
Sehubungan itu, pelbagai aktiviti termasuk sudut kreatif diperkenalkan bagi membantu jemaah mengisi masa dan mengurangkan tekanan.