KOTA BHARU, 2 Mei – Ahli keluarga kepada wanita yang maut ditikam 61 kali dalam kejadian di Kampung Simah, Ketereh terkejut sebaik sahaja mengetahui kejadian yang menimpa mangsa.
- Keluarga hanya dimaklumkan polis bahawa mangsa meninggal tanpa butiran, baru mengetahui butiran sebenar semasa dalam perjalanan pulang.
- Ibu bapa menangis tidak henti; mereka tiba di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II pada kira-kira pukul 8 malam.
- Mangsa pelajar kolej, baru masuk semester ketiga; keluarga terakhir berjumpa Sabtu ketika menghantarnya sambung pengajian.
Abang mangsa, Muhammad Faris Zulkifly, 21, berkata, mereka sekeluarga hanya diberitahu pihak polis bahawa adiknya, Nurfisya, 19, meninggal dunia namun tiada maklumat lanjut.
“Sebaik menerima berita tersebut, kami sekeluarga bertolak dari Kuala Kangsar, Perak ke Kelantan.
Namun, ketika di Jeli, kami baharu mengetahui kejadian sebenar dan tidak menyangka nasib yang menimpa adik saya selepas membaca berita yang disiarkan,” katanya.
Jelas beliau, ibu dan bapanya menangis tanpa henti sehingga tiba di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada pukul 8 malam.
Muhammad Faris berkata, kali terakhir mereka sekeluarga bertemu adiknya yang juga anak kedua daripada empat beradik pada Sabtu lalu ketika mereka menghantarnya untuk menyambung semester baharu di salah sebuah kolej di sini.
“Adik saya baharu memasuki semester ketiga dan sepatutnya tempoh keseluruhan pengajian adalah tujuh semester,” katanya lagi.
Sementara itu, rakan sekelas mangsa, Nur Damia Najwa Dollah berkata kali terakhir dia ketemu arwah pada Khamis sebelum berjanji untuk menyiapkan tugasan pada Jumaat.
Beliau hanya mengetahui mengenai kejadian yang menimpa kawannya itu selepas diberitahu pensyarah pada pukul 1 tengah hari.
Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di atas jalan di Kampung Simah, kira-kira 12:30 tengah malam.
Hasil pemeriksaan awal pasukan forensik mendapati, terdapat 61 tikaman pada tubuh mangsa bermula dari bahagian muka hingga ke kaki dengan kebanyakan kecederaan tertumpu pada bahagian kanan badan.