Polis tahan 4 suspek kes kematian penuntut kolej wanita di Ketereh

Foto hiasan

KOTA BHARU, 2 Mei -Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian penuntut kolej wanita di Kampung Padang Simah, Ketereh, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Barang dirampas termasuk dua kereta, dua telefon, pakaian, selipar, empat pelapik kaki dan satu bilah pisau dipercayai digunakan.
  • Suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing menunjukkan keputusan negatif.
  • Mayat wanita ditemui mempunyai 61 kesan tikaman; bedah siasat sahkan punca kematian akibat tikaman berganda di bahagian dada.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusof Mamat berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 19 hingga 66 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Taman Murni, Jalan Abdul Kadir Adabi, Kota Bharu dan Kampung Belukar Luas, Ketereh pada 4.40 petang semalam hingga 2.30 pagi tadi.

“Hasil serbuan, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 60 tahun.

“Kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing adalah negatif.

“Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah dua buah kereta, dua telefon bimbit, satu set pakaian, satu pasang selipar, empat unit pelapik kaki serta satu bilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, media melaporkan, mayat seorang wanita yang ditinggalkan di Kampung Padang Simah, Ketereh, tengah malam Jumaat, mempunyai 61 kesan tikaman di seluruh anggota badan.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada,” katanya.