
WASHINGTON, 21 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani memorandum bagi meningkatkan industri angkasa komersial negara itu dengan sasaran sekurang-kurangnya 1,000 pelancaran dan kemasukan semula ke atmosfera setiap tahun menjelang 2030.
- Memorandum menggesa agensi menyediakan insentif bagi pembangunan infrastruktur pengangkutan angkasa bersama sektor swasta dan mempercepat proses kelulusan.
- Arahan kepada NASA memudahkan pengangkutan komersial ke bulan, akses robotik ke Marikh dan meneroka kaedah komersial untuk misi manusia.
- Agensi diminta elak bersaing dengan aktiviti angkasa komersial; tapak kemasukan semula kerajaan baru perlu dikenal pasti dalam 90 hari.
Memorandum yang memberi tumpuan kepada pengembangan industri angkasa komersial itu turut menggesa agensi kerajaan menyediakan insentif bagi pembangunan bersama infrastruktur pengangkutan angkasa dengan sektor swasta.
Ia juga meminta proses kelulusan serta semakan alam sekitar dipercepatkan, selain memastikan spektrum tanpa wayar mencukupi untuk operasi pelancaran angkasa.
Trump turut mahu AS menghantar semula angkasawannya ke bulan menjelang 2028.
Memorandum itu mengarahkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memudahkan pengangkutan komersial ke bulan dan akses robotik komersial ke Marikh, selain meneroka kaedah komersial untuk menghantar manusia ke planet berkenaan.
Pengarah Pejabat Dasar Sains dan Teknologi White House, Michael Kratsios, berkata dasar pengangkutan angkasa negara yang baharu itu memenuhi keperluan ketika pertumbuhan industri angkasa berkembang pesat.
Beliau berkata, dasar itu meletakkan AS pada kedudukan untuk menerajui era baharu penerokaan angkasa.
Selain itu, Trump mahu tapak kemasukan semula baharu milik kerajaan persekutuan dikenal pasti dalam tempoh 90 hari.
Beliau turut mengarahkan agensi kerajaan supaya tidak menjalankan aktiviti pengangkutan angkasa kerajaan AS yang boleh menghalang, mengekang atau bersaing dengan aktiviti pengangkutan angkasa komersial AS, kecuali jika diperlukan atas faktor keselamatan awam atau keselamatan negara.
Sementara itu, SpaceX milik Elon Musk, yang mendominasi sektor pelancaran komersial AS, melaksanakan 170 pelancaran pada 2025 dan menyasarkan sehingga 10,000 pelancaran setahun dalam tempoh lima tahun.-REUTERS