Imran Khan dipindah ke hospital atas arahan Mahkamah Agung

Foto AFP

ISLAMABAD, 21 Ogos – Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, yang sedang menjalani hukuman penjara, dipindahkan ke Hospital Antarabangsa Shifa di Islamabad bagi menjalani pemeriksaan perubatan atas arahan Mahkamah Agung.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah mengarahkan pemeriksaan perubatan dalam dua hari; Khan dibenarkan jumpa keluarga sekali seminggu dan panggilan telefon dua kali seminggu.
  • Panel pakar perubatan akan dibentuk untuk mengurus rawatan; adiknya Uzma Khan, doktor, dibenarkan mengambil bahagian.
  • Khan dan isteri disabit rasuah, dijatuhi 17 tahun penjara; beliau menafikan kes dan mendakwa bermotif politik.

Menurut ahli parti politiknya, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), Zulfi Bukhari, mengesahkan Khan, 73, telah tiba di hospital berkenaan selepas arahan mahkamah dipatuhi.

Ratusan anggota polis, ditempatkan berhampiran hospital berkenaan, manakala beberapa laluan menuju ke fasiliti perubatan itu ditutup.

Bekas Presiden Pakistan yang juga anggota PTI, Arif Alvi, turut mengesahkan pemindahan Khan menerusi platform X.

Puluhan penyokong bekas perdana menteri itu berkumpul di sekitar hospital, malah ada yang menaburkan kelopak bunga mawar merah ke arah kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.

Pemindahan itu dibuat selepas peguam Khan mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Agung, dengan mendakwa beliau mengalami masalah kesihatan dan memerlukan pemeriksaan perubatan.

Mahkamah pada Selasa lalu mengarahkan Khan dimasukkan ke hospital dalam tempoh dua hari.

Mahkamah turut menetapkan Khan dibenarkan bertemu keluarganya sekali seminggu serta bercakap dengan anak lelakinya melalui telefon dua kali seminggu.

Panel pakar perubatan akan dibentuk bagi menguruskan rawatan Khan, manakala adiknya, Uzma Khan yang juga doktor perubatan, dibenarkan mengambil bahagian dalam rawatan berkenaan.

Awal tahun ini, Khan menerima rawatan mata di sebuah hospital selepas keluarganya mendakwa beliau kehilangan sebahagian besar penglihatan pada mata kanannya.

Khan dan isterinya, Bushra Bibi, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 17 tahun pada akhir tahun lalu selepas didapati bersalah atas pertuduhan rasuah dan beberapa kesalahan lain.

Khan, yang dipenjarakan sejak 2023, bagaimanapun menafikan pertuduhan terhadapnya dan mendakwa kes berkenaan bermotifkan politik.

Beliau menjadi Perdana Menteri Pakistan dari 2018 hingga 2022 sebelum digulingkan menerusi undi tidak percaya ketika negara itu dilanda krisis politik dan ketegangan antara kerajaan pimpinannya dengan pihak ketenteraan.

Penahanan Khan pada Mei 2023 mencetuskan demonstrasi besar-besaran di seluruh Pakistan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.