
THE HAGUE, 27 Januari – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berdepan tekanan apabila kedaulatan undang-undang dunia semakin terancam dengan pelbagai konflik.
- ICC sedang menghadapi tekanan dan serangan yang mengancam fungsi serta kedaulatan undang-undang antarabangsa.
- Sekatan dan tindakan balas, termasuk terhadap pegawai ICC, timbul susulan waran tangkap terhadap pemimpin negara.
- Akane menyeru pengembalian kepada prinsip asas keadilan merentasi sempadan dan menegaskan peranan mahkamah.
Presidennya, Tomoko Akane memberi amaran tekanan yang dikenakan terhadap ICC mampu untuk menjejaskan fungsi organisasi itu untuk menegakkan keadilan antarabangsa.
“ICC serta institusi kehakiman lain di seluruh dunia telah menghadapi tekanan yang ketara, langkah paksaan dan percubaan untuk menjejaskan fungsi mereka.
“Organisasi keadilan antarabangsa kini sentiasa dicabar dan ditekan,” tambah Akane.
Antara tekanan yang diterima ialah sekatan terhadap pegawai tertinggi ICC termasuk hakim oleh Amerika Syarikat, susulan waran tangkap yang dikeluarkan organisasi itu terhadap pemimpin Israel, Benjamin Netanyahu.
Selain itu, Rusia juga telah menjatuhkan hukuman penjara terhadap pegawai ICC sebagai tindakan balas terhadap waran tangkap Presiden Vladimir Putin berhubung perang di Ukraine.
“Kini ICC mesti kembali kepada idea asas yang memperjuangkan keadilan merentasi sempadan,” kata Akane.
Akane dalam pada itu turut mendedahkan mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadap beberapa individu yang melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.
Pada Isnin, ICC mengendalikan salah satu kes paling berprofil tinggi melibatkan bekas presiden Filipina Rodrigo Duterte.-AFP