Kepulangan penduduk Zawtar al-Gharbiyeh disambut kemusnahan

Kemusnahan rumah-rumah batu berusia antara 100 hingga 300 tahun akibat serangan rejim Zionis/ REUTERS

LUBNAN, 27 Julai – Penduduk yang dipindahkan dari pekan Zawtar al-Gharbiyeh di selatan Lubnan mula kembali ke kediaman masing-masing pada Ahad bagi meninjau keadaan rumah serta mencari barangan yang masih boleh diselamatkan selepas tentera Israel berundur dari kawasan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tentera Lubnan ditempatkan di Zawtar al-Gharbiyeh sebagai sebahagian pelan AS untuk pengunduran berperingkat tentera Israel.
  • Kemusnahan meluas rumah batu berusia 100 hingga 300 tahun dianggap pembalasan, menggugat warisan sejarah dan maruah penduduk.
  • Puluhan ribu penduduk masih kehilangan tempat tinggal dan tidak dapat pulang; Israel terus menguasai kawasan selatan serta meneruskan letupan terkawal.

Tentera Lubnan mula ditempatkan di Zawtar al-Gharbiyeh pada Selasa lalu, manakala penduduk dibenarkan memasuki semula pekan itu pada Jumaat selepas pengunduran tentera Israel, sekali gus menjadi ujian pertama kepada pelan yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) dan dipersetujui Lubnan serta Israel menerusi rundingan secara langsung.

Pelan tersebut memperuntukkan tentera Israel berundur secara berperingkat bagi membolehkan tentera Lubnan mengambil alih kawalan keselamatan.

Tentera Israel menyifatkan Zawtar al-Gharbiyeh sebagai satu daripada tiga bandar atau kampung yang terlibat dalam pelaksanaan awal pelan berkenaan.

Bagaimanapun, tentera Israel masih menguasai kawasan sepanjang kira-kira 10 kilometer di selatan Lubnan, yang menyaksikan beberapa kampung dimusnahkan sepenuhnya.

Akibatnya, puluhan ribu penduduk Lubnan yang kehilangan tempat tinggal sejak konflik terbaharu antara Hizbullah dan Israel tercetus pada 2 Mac lalu masih belum dapat pulang ke kediaman masing-masing.

Minggu lepas, tentera Israel turut meneruskan letupan terkawal di beberapa bandar yang masih didudukinya berhampiran Zawtar al-Gharbiyeh.

Seorang penduduk, Ahmed Yaghi, berkata pekan lama Zawtar al-Gharbiyeh yang terkenal dengan rumah-rumah batu berusia antara 100 hingga 300 tahun sebelum ini dianggap sebagai warisan bersejarah dan sentiasa dipelihara oleh penduduk namun musnah akibat serangan itu.

“Apabila melihat keadaan ini, timbul persoalan apakah kesalahan rumah-rumah ini dan apakah kesalahan penduduk di sini? Kemusnahan yang berlaku amat menyeluruh, seolah-olah ia merupakan tindakan membalas dendam terhadap nilai kemanusiaan, bukan sekadar operasi ketenteraan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Fatmeh Joni, menunjukkan kesan serangan yang mengenai rumahnya dari beberapa arah sehingga menyebabkan kediaman itu musnah.

“Lihatlah kesan serangan di sini, di sana dan di sebelah sana. Bagaimana rumah ini boleh terus berdiri? Semoga Allah menggantikan kehilangan kami. Itu sahaja yang mampu kami ungkapkan,” katanya.

Beliau berkata keluarganya telah menghabiskan seluruh kehidupan di Zawtar al-Gharbiyeh dan menyifatkan pekan itu sebagai sebuah tempat yang indah untuk didiami.

“Kami membesar di sini, begitu juga anak-anak kami. Seluruh kehidupan kami berada di sini. Zawtar al-Gharbiyeh ibarat syurga buat kami. Sangat menyedihkan melihat apa yang berlaku. Seseorang hanya benar-benar menghargai sesuatu apabila kehilangannya,” katanya.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.