
SHAH ALAM, 16 Oktober – Penguatkuasaan sedia dipertingkat Kerajaan Negeri Selangor terutamanya di lokasi berisiko bertujuan mengekang kegiatan pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan kualiti udara.
- Pemantauan dipertingkat di kawasan tanah gambut, tapak pelupusan sampah dan lokasi titik panas.
- Bacaan IPU tertinggi direkodkan di Johan Setia dan Klang, menunjukkan pencemaran udara serius.
- Petaling Jaya, Shah Alam, Banting dan Kuala Selangor mencatat tahap IPU tidak sihat.
- Orang ramai, terutama golongan berisiko tinggi, dinasihat mengurangkan aktiviti luar bagi mengurangkan risiko kesihatan.
Exco Kesihatan Awam Selangor, Jamaliah Jamaluddin menerusi kenyataan memberitahu, pemantauan dipertingkat khususnya melibatkan kawasan tanah gambut, tapak pelupusan sampah serta lokasi titik panas.
Setakat tengah hari tadi,Johan Setia mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi di Selangor, iaitu 187, diikuti Klang dengan 181.
Empat lagi kawasan turut mencatatkan bacaan pada tahap tidak sihat masing-masing Petaling Jaya dengan 174, Shah Alam (172), Banting (168) dan Kuala Selangor
(155).
Sehubungan itu, orang ramai khususnya golongan berisiko tinggi dinasihat mengurangkan aktiviti luar bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat jerebu.