
TIANJIN, 16 Oktober – China secara prinsip bersetuju dengan cadangan Malaysia untuk menubuhkan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Dunia dengan negara Tembok Besar itu berperanan sebagai sekretariat tetap.
- Cadangan penubuhan Majlis TVET Sedunia dikemukakan secara rasmi semasa Persidangan WVTEDC 2026.
- Model latihan Luban Workshop dari China akan dibawa ke Malaysia untuk memperkukuh TVET di kawasan luar bandar.
- Pengukuhan ekosistem TVET disasarkan melahirkan 60,000 jurutera atau tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi sektor semikonduktor menjelang 2030.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan itu dinyatakan rakan sejawatannya dari China, Ding Xuexiang serta Menteri Pendidikan negara itu, Huai Jinpeng.
Menurut beliau, cadangan berkenaan dikemukakan secara rasmi menerusi ucapannya pada Persidangan Pembangunan Pendidikan Vokasional dan Teknikal Dunia (WVTEDC) 2026, di sini.
“Saya telah mencadangkan supaya China menubuhkan Majlis TVET Sedunia agar semua negara anggota dapat memperoleh manfaat. Ini kerana Kementerian Pendidikan China telah menganjurkan lima persidangan TVET yang berpusat di Tianjin.
“Saya berharap dengan penubuhan Majlis TVET Sedunia ini, China akan terus berperanan sebagai sekretariat tetap, sekali gus menterjemah komitmen negara itu untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran mengenai ekosistem pendidikan TVET,” katanya pada sidang media selepas persidangan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan juga, katanya, berhasrat membawa model latihan kemahiran Luban Workshop dari China ke Malaysia, khususnya bagi memperkukuh TVET di kawasan luar bandar.
Kerjasama itu dijangka memberi manfaat kepada tenaga pengajar tempatan menerusi pemindahan kepakaran dan pendedahan kepada teknologi terkini.
“Ini merupakan satu pendekatan apabila mereka datang ke negara kita dan kita tidak perlu menghantar pelajar.
“Lebih ramai tenaga pengajar akan mendapat manfaat. Mereka juga memberikan peralatan secara percuma dan mempunyai modul terbaharu, termasuk berkaitan teknologi kuantum, kecerdasan buatan (AI) serta sistem teknologi maklumat,” katanya.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara memaklumkan, kerjasama itu turut berpotensi dilaksanakan menerusi Malaysia China Institute (MCI) serta institusi TVET tempatan bagi memperluas akses latihan kemahiran.
Menurutnya, pengukuhan ekosistem TVET penting bagi membantu Malaysia mencapai sasaran melahirkan 60,000 jurutera atau tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk sektor semikonduktor menjelang 2030.
“Kerjasama Malaysia-China dalam bidang TVET sebelum ini menyaksikan 5,125 tempat latihan ditawarkan kepada pelajar Malaysia pada 2024 dan kesemuanya telah dipenuhi, manakala 2,500 tempat tambahan bagi 2025 dan 2026 turut diisi sepenuhnya,” jelasnya.
Selain itu, enam model kenderaan elektrik (EV) terbaharu turut disumbangkan kepada enam institusi pendidikan automotif tempatan.