Tujuh warga China didakwa terlibat kegiatan kripto

11 November depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes dan penyerahan dokumen 

JOHOR BAHRU, 16 Oktober – Tujuh warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menjalankan kegiatan sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud di Forest City, awal bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
  • Mahkamah membenarkan ikat jamin RM7,000 setiap tertuduh dengan dua penjamin warga tempatan.
  • Seorang tertuduh turut berdepan pertuduhan masuk Malaysia secara tidak sah; mengaku tidak bersalah dan diikat jamin RM9,000.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Atifah Hazimah Wahab.

Kesemua tertuduh, masing-masing, Zhou Fu, 22 tahun, Chen Lu (23) Yuan Shuping (29), Li Yi (30), Wang Tengfei (30), Chen Xiaojia (33) dan Hong Wei Xian, (25) hanya mengangguk faham atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin RM7,000 setiap seorang dengan dua penjamin tempatan.

Dalam pada itu, Wei Xian turut berdepan pertuduhan memasuki Malaysia secara tidak sah.

Bagi pertuduhan imigresen, tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan dua penjamin warga tempatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, manakala pihak pembelaan diwakili Pang Yong Tong dan Lim Tyng Chieh.

Mahkamah menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.