
SAUDARA PENGARANG
- Kenali dan terima emosi seperti rindu, takut dan risau tanpa rasa malu; pilih tindakan yang membantu selepas emosi muncul.
- Urus tekanan dan cari rentak sendiri: susun keutamaan, kawal pernafasan, langkah demi langkah agar tidak panik.
- Tentukan matlamat peribadi, jangan bandingkan dengan orang lain; betulkan arah dan cuba semula jika tersasar.
- Ibu bapa jadilah pendengar, beri ruang untuk berdikari; jumpa kaunselor institut untuk sokongan profesional tanpa penghakiman.
Musim kemasukan pelajar ke institusi pendidikan tinggi telah berakhir. Kini mereka dalam proses menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu yang lebih berdikari sebagai pewaris generasi akan datang.
Dalam tempoh penyesuaian ini, mungkin ibu bapa mendengar suara anak lain daripada biasa. Ada yang menangis. Ada yang diam lama sebelum bersuara.
Dalam keadaan begitu, rumah yang selama ini terasa biasa tiba-tiba menjadi sesuatu yang sangat dirindui. Ini adalah tanda-tanda homesick.
Rasa rindu kepada rumah sering dianggap perkara kecil. “Biasalah, lama-lama okey,” kata kita. Ada pula yang menganggap anak yang menangis kerana rindu keluarga sebagai terlalu manja.
Sebagai kaunselor, saya melihat homesick sebagai sebahagian daripada proses menyesuaikan diri. Apabila seseorang meninggalkan tempat yang selama ini membuatkan mereka rasa selamat, memang normal jika hati mengambil masa untuk menerima perubahan.
Mahasiswa baharu bukan sekadar meninggalkan rumah. Mereka meninggalkan rutin, keluarga, kawan-kawan lama dan perkara yang selama ini mereka sudah biasa lakukan.
Dalam masa yang sama, mereka perlu belajar mengurus kuliah, tugasan, duit, kehidupan kolej, kawan baharu dan diri sendiri. Bayangkan semuanya berlaku serentak.
Sebab itu, ada mahasiswa yang cepat menyesuaikan diri dan ada yang memerlukan lebih banyak masa. Kedua-duanya normal. Jadi, apa yang mahasiswa boleh lakukan?
Pertama, kenali dan terima emosi. Kalau rindu, mereka perlu belajar mengakui perasaan rindu itu. Begitu juga dengan perasaan yang lain seperti takut, risau dan sebagainya tanpa memikirkan ia sebagai satu kelemahan diri.
Realitinya, individu tidak boleh menghalang perasaan sedih atau rindu itu datang. Tetapi kita boleh memilih apa yang hendak dilakukan selepas emosi itu muncul.
Contohnya, sekiranya sunyi pada waktu malam, telefon keluarga atau cari kawan untuk berbual. Jangan biarkan terbawa-bawa dengan perasaan itu sehingga menjejaskan kualiti masa.
Keduanya, mengurus tekanan dan mencari rentak sendiri. Dalam tempoh pengajian, semuanya boleh datang serentak seperti kelas, tugasan, aktiviti kolej, masalah kewangan dan macam-macam lagi.
Umpamanya bagai seseorang sedang berenang, perlu mengawal pernafasan, pergerakan dan rentak supaya tidak cepat penat dan panik. Selesaikan perkara mengikut susunan keutamaan.
Justeru, mengurus tekanan dan emosi ini sangat penting supaya ia dapat menjaga kesejahteraan mental dan emosi yang boleh mengganggu perjalanan kehidupan di kampus.
Ketiganya, mahasiswa perlu tahu apa yang hendak dicapai. Ibaratnya sesorang sedang memanah yang perlu fokus pada sasarannya, bukan sasaran orang lain.
Begitu juga mahasiswa, jangan membandingkan diri dengan orang lain kerana anak panah yang tersasar tidak bermaksud pemanah perlu berhenti, sebaiknya betulkan arah dan cuba lagi.
Dalam hal ini, peranan ibu bapa tidak kurang pentingnya. Ibu bapa digalakkan menjadi pendengar yang baik, berbual tentang perasaan tanpa perlu memberikan pilihan penyelesaian mudah.
Keadaan ini akan memberi ruang untuk mereka berdikari, lebih yakin dan bersemangat. Seterusnya, menjadikan rumah sebagai tempat untuk mendapatkan kekuatan, bukan tempat untuk sembunyi daripada masalah.
Dalam konteks kaunseling, mahasiswa adalah digalakkan untuk berjumpa kaunselor di institusi masing-masing, sebagai pendengar profesional, berkecuali dan tidak menghakimi.
Akhirnya, homesick bukan bermaksud seseorang gagal meninggalkan rumah. Ia adalah proses menyesuaikan diri dan mengenal potensi diri sendiri. Cuma, kadangkala individu mungkin terbawa-bawa dengan perasaan pada ketika itu.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Mohamad Ashaari Awab
Ketua Seksyen Pembangunan Kendiri
Bahagian Kaunseling
Universiti Putra Maysia
E-mel: m_ashaari@upm.edu.my