
ISTANBUL, 27 Julai – Sebuah kapal tangki minyak meletup di Selat Hormuz selepas terlanggar periuk api apabila ia melencong daripada laluan pelayaran yang ditetapkan oleh Iran, lapor media Iran pada Ahad.
- Sumber Defapress memaklum kapal melencong daripada laluan Iran sebelum melanggar periuk api di Selat Hormuz.
- Tiada maklumat mengenai kemalangan jiwa, identiti kapal atau tahap kerosakan.
- Pada 26 Jun, Iran mengingatkan laluan merentasi Selat Hormuz hanya dibenarkan melalui laluan ditetapkan Tehran.
- Ketegangan AS-Iran meningkat; Washington tuntut laluan tanpa sekatan, Tehran tuntut kapal transit berdekatan pesisir bawah mekanisme Iran.
Satu sumber memaklumkan laman berita Defapress bahawa kapal tangki itu melencong daripada laluan yang ditetapkan oleh Iran sebelum melanggar periuk api di laluan air strategik berkenaan, lapor Anadolu Ajansi memetik agensi berita separuh rasmi Mehr.
Tiada maklumat mengenai kemalangan jiwa, identiti kapal atau sejauh mana tahap kerosakan yang dialami.
Pada 26 Jun, Iran memberi amaran bahawa laluan merentasi Selat Hormuz “hanya dibenarkan” melalui laluan yang ditetapkan oleh Tehran.
Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran semakin meruncing sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan Washington melancarkan serangan ke atas Iran, manakala Tehran bertindak balas dengan menyasarkan kemudahan dan peralatan ketenteraan AS di negara-negara sekitar rantau itu.
Pada 8 Julai, Presiden AS Donald Trump mengisytiharkan memorandum persefahaman bulan lepas dengan Iran telah “berakhir,” sambil mendakwa Tehran melanggar perjanjian berkenaan.
Pengumuman itu susulan serangan ke atas tiga kapal tangki di Selat Hormuz serta perselisihan baharu berhubung peraturan pelayaran di laluan air strategik itu.
Washington menuntut laluan tanpa sekatan merentasi Selat Hormuz, manakala Tehran bertegas bahawa kapal-kapal mesti merentasi laluan berhampiran pesisir pantainya di bawah mekanisme pelayaran yang ditadbir oleh Iran.- BERNAMA