
SHANGHAI, 17 Julai – China dan Pakistan menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk segera melaksanakan gencatan senjata dan kembali ke meja rundingan bagi menghentikan konflik terbaharu yang tercetus di Asia Barat.
- China dan Pakistan menzahirkan kebimbangan terhadap ketegangan, menggesa semua pihak menghentikan serangan dan berusaha mencapai perjanjian damai menyeluruh.
- Kedua negara menekankan peranan masyarakat antarabangsa untuk menyokong dan mendesak tercapainya perjanjian damai.
- Wang Yi berkata MoU antara Washington dan Tehran memerlukan sokongan pihak ketiga; China sokong peranan pengantaraan Pakistan dan komitmen berterusan.
Gesaan tersebut dibuat secara bersama antara Menteri Luar China, Wang Yi dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Pakistan, Mohammad Ishaq Dar menerusi satu pertemuan pada Khamis, di sini.
Menerusi pertemuan tersebut, Beijing dan Islamabad menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap situasi yang semakin meruncing di Iran, menggesa semua pihak terlibat untuk menghentikan serangan selain, berusaha mencapai perjanjian damai yang menyeluruh.
Kedua-dua negara tersebut turut menekankan tentang kepentingan penglibatan serta peranan masyarakat antarabangsa untuk menyokong sekali gus mendesak agar perjanjian damai dapat dicapai dalam konflik berkenaan.
Sementara itu, Wang Yi merangkap ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China berkata, memorandum persefahaman (MoU) yang disepakati antara Washington dan Tehran pada Jun lalu, bukan satu perkara yang mudah dilakukan tanpa sokongan pihak ketiga.
“Ia juga banyak bergantung pada usaha bersama masyarakat antarabangsa dengan Pakistan memainkan peranan penting khususnya dari aspek penyelarasan dan pengantaraan,” katanya.
Tambah beliau, MoU tersebut bukan sahaja memenuhi keperluan asas dan kepentingan jangka panjang pihak-pihak terlibat, malah perlu turut menggariskan aspirasi dan harapan masyarakat antarabangsa yang perlu dihormati serta dipelihara dengan penuh teliti.
“Semua pihak terlibat perlu mengambil tanggungjawab terhadap komitmen masing-masing dan mematuhi setiap peruntukan yang ditetapkan dalam MoU berkenaan.
“China akan sentiasa menyokong usaha Pakistan sebagai pihak pengantara, serta meneruskan peranan yang konstruktif untuk membantu menghentikan situasi mengikut cara yang terbaik,” katanya lagi.
Dalam pertemuan sama, Mohammad Ishaq turut menjelaskan usaha terbaharu yang giat dilaksanakan Pakistan dalam meredakan konflik AS-Iran, serta berikrar untuk terus komited dengan usaha perjanjian damai meskipun berdepan pelbagai cabaran.