
OMAN, 17 Julai – Tentera Amerika Syarikat (AS) membuat pemeriksaan ke atas kapal tangki Wen Yao pada Khamis susulan penguatkuasaan semula sekatan AS terhadap kesemua kapal yang melalui pelabuhan Iran.
- Rakaman CENTCOM menunjukkan tentera turun dari helikopter menggunakan tali untuk menaiki kapal tangki bagi pemeriksaan pengesahan.
- Lokasi dan tarikh rakaman tidak disahkan; data pengesanan tunjukkan lokasi terakhir di Teluk Oman, identiti kapal disahkan.
- Usaha rundingan gagal sejak 7 Julai; serangan balas melumpuhkan lalu lintas minyak utama, mendorong harga minyak sekitar AS$85 setong.
Menerusi rakaman video yang dikeluarkan oleh Komando Pusat AS (CENTCOM) menunjukkan anggota tenteranya bertindak turun dari helikopter menggunakan tali ke atas kapal tangki tersebut, untuk melakukan pemeriksaan pengesahan.
Bagaimanapun, lokasi dan tarikh sebenar video tersebut dirakam tidak dapat disahkan.
Menurut data pengesanan kapal menunjukkan lokasi terakhir kapal tangki Wen Yao adalah di Teluk Oman.
Selain itu, identiti kapal tersebut turut disahkan sebagai Wen Yao berdasarkan struktur atas, bilik enjin dan corong asapnya yang sepadan dengan imej arkib kapal berkenaan.
Sementara itu, tentera AS memaklumkan pihaknya telah menaiki kapal tangki Wen Yao bagi menguatkuasakan semula sekatan terhadap kesemua kapal yang berlayar masuk dan keluar dari pelabuhan Iran.
Satu perjanjian sementara sebagai usaha menamatkan konflik antara Washington dan Tehran gagal dicapai sejak 7 Julai lalu apabila kedua-dua pihak saling melakukan serangan balas, sekali gus melumpuhkan sebahagian besar lalu lintas di laluan penghantaran tenaga paling penting di dunia yang menyaksikan harga minyak melonjak kepada sekitar AS$85 setong pada minggu ini.