Karya seni visual, dokumentasi sejarah dan interpretasi artistik yang kekal

Suasana dalam “Putar Alam Cafe” di Balai Seni Negara / Foto Berita RTM

KUALA LUMPUR, 16 April – Pengkarya seni berperanan sebagai “wartawan retrospektif” yang merakam detik-detik sejarah melalui karya mereka, sekali gus menjadikan seni sebagai medium penting dalam mengekalkan nilai sejarah agar terus relevan merentas zaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seni sebagai tanggungjawab sosial; membantu generasi memahami peristiwa lampau secara lebih dekat dan bermakna.
  • Konsep kafe dalam 'Putar Alam Cafe' menjadikan ruang sosial platform berkongsi cerita dan mesej secara santai tetapi signifikan.
  • Instalasi interaktif mengajak pengunjung terlibat, berfikir kritis tentang peranan media dan membina dialog antara pengkarya serta masyarakat.

Pendekatan ini bukan sahaja merakam peristiwa, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk menilai semula sesuatu kejadian melalui sudut pandang yang lebih mendalam dan bersifat interpretatif.

Seni dilihat berupaya menyampaikan naratif yang kadangkala tidak terungkap melalui penulisan atau dokumentasi konvensional.

Menurut artis seni rupa, Noor Azizan Rahman Paiman, penghasilan karya seni adalah satu bentuk tanggungjawab sosial yang memberi peluang kepada generasi akan datang memahami peristiwa lampau dengan cara yang lebih dekat dan bermakna.

Beliau menjelaskan bahawa seni bukan sekadar objek hiasan, sebaliknya medium komunikasi yang mampu menghubungkan masyarakat dengan isu-isu semasa dan sejarah yang berlaku di sekeliling mereka.

Beliau turut menegaskan bahawa sebagai seorang pengkarya, beliau tidak mampu menyelesaikan segala masalah dunia, namun beliau percaya setiap momen penting perlu dirakam dan diceritakan kepada masyarakat.

Artis Seni Rupa, Noor Azizan Rahman Paiman / Foto Berita RTM

“Karya seni tidak seharusnya hanya menjadi hiasan indah di dinding yang dimiliki golongan tertentu, sebaliknya perlu berfungsi sebagai medium untuk menyampaikan cerita dan mesej kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui pada pameran karya bertajuk “Putar Alam Cafe” di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur.

Menurutnya lagi, masyarakat sekeliling juga memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran serta mengangkat isu-isu yang diketengahkan melalui karya seni.

Justeru, beliau menggunakan konsep kafe dalam penghasilan karya tersebut sebagai satu pendekatan untuk berkongsi cerita dan menyampaikan mesej dengan lebih dekat kepada orang ramai.

Tambah beliau, konsep yang diketengahkan dalam karya tersebut mengambil inspirasi daripada ruang sosial seperti kafe yang menjadi tempat pertemuan dan perbincangan masyarakat, sekali gus menjadikannya platform untuk menyampaikan mesej yang lebih santai tetapi signifikan.

Dengan bantuan isterinya, Suhaila Datuk Chek Hashim yang merupakan artis seni halus, kewujudan Karya “Putar Alam Cafe” merupakan simbolik kepada satu eksperimen sosial yang cuba memperlihatkan bagaimana kuasa media mampu mempengaruhi persepsi serta penilaian manusia terhadap maklumat yang diterima dalam persekitaran semasa.

Azizan Paiman bersama isteri, Suhaila Datuk Chek Hashim / Foto Berita RTM

Melalui pendekatan instalasi interaktif, pengunjung bukan sahaja melihat karya tersebut, malah turut terlibat secara langsung dalam pengalaman yang disediakan, sekali gus mendorong mereka untuk berfikir secara kritis terhadap peranan media dalam kehidupan harian.

Karya berkenaan pada asalnya dibangunkan untuk dipamerkan di Singapore Biennale pada tahun 2016, sebuah platform seni antarabangsa yang menghimpunkan pengkarya dari pelbagai negara untuk mengetengahkan isu-isu global melalui seni kontemporari.

Kini, karya tersebut dibawa ke Balai Seni Negara sebagai antara koleksi penting yang boleh dinikmati oleh peminat seni tempatan, selain menjadi medium pendidikan kepada masyarakat mengenai peranan seni dalam mendokumentasikan realiti sosial.

Pameran ini juga diharapkan dapat membuka lebih banyak ruang dialog antara pengkarya dan masyarakat, seterusnya menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam terhadap hubungan antara seni, media dan sejarah dalam membentuk perspektif manusia.

Pandangan luar “Putar Alam Cafe” / Foto Berita RTM