“Macam Macam Raya bersama Rocketfuel Entertainment” dominasi muzik raya, catat lebih 13 juta strim

“Macam Macam Raya Bersama Rocketfuel Entertainment”, catat kejayaan memberangsangkan

KUALA LUMPUR, 16 April – Rocketfuel Entertainment terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara peneraju industri hiburan tempatan apabila kempen raya tahun ini, “Macam Macam Raya Bersama Rocketfuel Entertainment”, mencatat kejayaan memberangsangkan dengan lebih 13 juta penstriman digital keseluruhan menerusi tujuh lagu Raya yang diterbitkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kempen raya menyatukan artis popular dan mengumumkan projek baharu, menyemarakkan industri muzik tempatan.
  • Lagu hits termasuk Rindu Raya, Kampung Kita, Raya Macam Raya serta karya Dayang dan Nadeera catat prestasi tinggi.
  • Artis baharu Qal G lancar single Seharusnya Aku; Awienit bersedia keluarkan single sulung di bawah Rocketfuel.
  • Wani Kayrie viral dengan Cak Cak Cekuk, jutaan tontonan YouTube dan tempat ke Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-40.

Inisiatif tersebut bukan sahaja meraikan sambutan Aidilfitri dengan penuh warna-warni, malah menghimpunkan deretan artis popular serta pengumuman projek baharu yang bakal menghangatkan industri muzik tempatan sepanjang tahun 2026.

Antara lagu yang mencatatkan prestasi tinggi termasuk “Rindu Raya” oleh ALPHA, “Kampung Kita” oleh Wani Kayrie, “Raya Macam Raya” hasil kolaborasi Hael Husaini bersama ALPHA, “Duit Raya” oleh Sharul Kamal & Mierul Aiman, “Senyum Gugur Di Penghujung Doa” oleh Dayang Nurfaizah, “Restu Raya” oleh Nadeera, serta “Lagu Raya Untukmu” oleh Hael Husaini.

Menurut Rocketfuel Entertainment, kejayaan ini membuktikan kekuatan kandungan muzik raya yang terus relevan dan dekat dengan citarasa pendengar masa kini, sekali gus mengukuhkan jenama mereka dalam industri hiburan tempatan.

Meneruskan momentum tersebut, Rocketfuel turut memperkenalkan beberapa pelancaran muzik baharu. Antara yang mencuri perhatian ialah artis meningkat naik, Qal G, yang tampil dengan single “Seharusnya Aku”, kesinambungan kepada debutnya “Sepi”.

Qal G sebelum ini merupakan finalis program Big Stage Alpha yang menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu.

Seorang lagi alumni program sama, Awienit, turut bersedia melangkah ke industri muzik dengan single sulungnya di bawah label Rocketfuel Entertainment tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, duo vokal dari Korea Selatan, HoonDoo, melancarkan lagu “Jejak Yang Tertinggal” sebagai runut bunyi drama “Dendam Seorang Mentua” pada 15 April 2026, sekali gus menandakan kolaborasi rentas negara yang semakin berkembang.

Sementara itu, Wani Kayrie turut mencuri perhatian apabila lagu viralnya “Cak Cak Cekuk” berjaya meraih lebih 12 juta tontonan di YouTube dan 2.9 juta strim di Spotify, sekali gus membawanya ke pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-40 (SFMM40).

Wani berkata persediaannya kini memberi fokus kepada vokal, persembahan dan emosi bagi memastikan persembahan terbaik di pentas berprestij itu.

Di samping itu, Nadeera dijadualkan melancarkan single terbaharu berjudul “Cuba Jadi Aku” pada Jun 2026, manakala Hael Husaini turut mengesahkan bakal tampil dengan kolaborasi baharu yang masih dirahsiakan dalam tahun ini.

Rocketfuel Entertainment menyifatkan tahun ini sebagai antara fasa paling aktif dan strategik dalam memperkukuhkan ekosistem muzik tempatan, khususnya dalam mengangkat bakat baharu serta memperluaskan pengaruh muzik Malaysia ke peringkat lebih luas.