
SAUDARA PENGARANG
- Isu pemain warisan dan aduan FIFA menyebabkan kekalahan teknikal dan menjejaskan kelayakan Piala Asia 2027.
- Kegagalan bukan kerana kekurangan bakat tetapi sistem pembangunan yang tidak konsisten dan kurang berstruktur.
- Perlu fokus akar umbi: latihan bermula usia enam hingga 12, kursus jurulatih untuk guru, dan pertandingan muda berformat liga berterusan.
- Struktur liga dan kebergantungan kepada pemain import mengurangkan minit permainan tempatan; MFL perlu pertimbangkan syarat pemain bawah 21 tahun wajib.
Bola sepak Malaysia bukan lagi sekadar mengalami kemerosotan prestasi, tetapi sedang berhadapan dengan krisis keyakinan. Isu pemain warisan, kekalahan memalukan dan persoalan integriti kini menjadikan peminat semakin hilang percaya terhadap hala tuju bola sepak negara.
Apa yang dahulunya menjadi kebanggaan rakyat, kini semakin dipenuhi dengan rasa kecewa dan persoalan tentang masa depan sukan nombor satu negara ini.
Isu pemain warisan yang hangat diperkatakan baru-baru ini bukan sekadar mencetuskan perdebatan dalam negara, malah turut menarik perhatian dunia.
Lebih memalukan apabila badan induk bola sepak dunia, FIFA, dilaporkan menerima aduan berkaitan tujuh pemain warisan Malaysia yang didakwa tidak sah susulan isu pemalsuan dokumen asal.
Kesannya amat besar apabila Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC mengisytiharkan Malaysia kalah 3-0 dalam dua perlawanan kelayakan, sekali gus menutup peluang negara ke Piala Asia 2027.
Namun persoalannya, adakah isu pemain warisan ini benar-benar punca utama kemerosotan bola sepak negara? Atau ia sekadar simptom kepada masalah yang jauh lebih besar dan telah lama wujud dalam sistem pembangunan bola sepak Malaysia?
Hakikat yang perlu diterima ialah Malaysia tidak kekurangan bakat. Apa yang kita kurang ialah sistem yang benar-benar membangunkan bakat secara konsisten dan berstruktur.
Kita terlalu sibuk mencari pemain warisan di luar negara, sedangkan bakat tempatan masih belum benar-benar “diwariskan” peluang untuk berkembang.
Pembangunan bola sepak tidak boleh dilakukan secara bermusim atau bersifat sementara. Ia memerlukan perancangan jangka panjang yang bermula daripada akar umbi.
Pembinaan pemain seharusnya bermula seawal usia enam hingga 12 tahun melalui program pembangunan yang tersusun dan konsisten. Pada usia inilah asas teknik, keyakinan dan kecintaan terhadap bola sepak perlu dibentuk.
Malangnya, pembangunan akar umbi di negara kita masih belum berada pada tahap yang benar-benar kukuh. Banyak program dijalankan, tetapi tidak bersifat menyeluruh dan berterusan.
Sedangkan pada peringkat usia muda, pemain memerlukan minit permainan yang banyak serta suasana kompetitif untuk meningkatkan kemahiran mereka.
Di sinilah pentingnya kerjasama antara Football Association of Malaysia (FAM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Sekolah merupakan tempat paling sesuai untuk membina ekosistem pembangunan bola sepak negara.
Kursus kejurulatihan asas “grassroot” kepada guru-guru sekolah perlu diperluaskan agar pembangunan pemain di peringkat bawah menjadi lebih seragam dan berkualiti.
Selain itu, pertandingan untuk pemain muda juga perlu diubah. Sistem kejohanan sedia ada seperti MSSD dan MSSM lebih bersifat karnival dan tidak berlangsung secara konsisten seperti liga.
Akibatnya, pemain muda kurang mendapat pendedahan kompetitif yang mencukupi. Tanpa perlawanan yang berterusan, sukar untuk pemain meningkatkan teknik, kecerdasan taktikal dan kematangan permainan mereka.
Pada usia 13 hingga 18 tahun misalnya, pemain sangat memerlukan minit permainan yang tinggi kerana pada fasa inilah pemahaman taktikal mula berkembang. Perlawanan kompetitif yang konsisten bukan sahaja membantu meningkatkan kemampuan teknikal, tetapi juga membina kekuatan mental pemain.
Dalam masa yang sama, fokus pembangunan juga tidak boleh hanya tertumpu kepada sekolah sukan semata-mata. Tidak semua pemain berkembang pada kadar yang sama. Ada pemain yang lambat matang, tetapi akhirnya berkembang menjadi pemain berkualiti apabila meningkat dewasa.
Bekas pemain negara seperti Azmi Muslim dan Shafizan Ahmad misalnya tidak melalui laluan sekolah sukan negeri. Namun mereka tetap berjaya mencipta nama di peringkat tertinggi. Ini membuktikan bahawa bakat boleh muncul dari mana-mana, asalkan diberi peluang, latihan dan platform yang betul.
Selain isu pembangunan akar umbi, struktur liga tempatan juga perlu diberikan perhatian serius. Jadual Liga Malaysia yang tidak konsisten serta rehat panjang untuk memberi laluan kepada pertandingan AFC sering mengganggu momentum pasukan dan pemain.
Lebih membimbangkan, lambakan pemain import dalam liga tempatan turut memberi kesan kepada pembangunan pemain muda negara. Apabila terlalu banyak tempat diisi pemain import, peluang pemain tempatan untuk bermain dan berkembang menjadi semakin terhad.
Mungkin sudah tiba masanya pihak Malaysian Football League (MFL) mempertimbangkan syarat wajib untuk setiap pasukan menurunkan pemain bawah 21 tahun secara konsisten. Ini penting bagi mempercepatkan proses kematangan pemain muda dalam suasana kompetitif sebenar.
Kita perlu sedar bahawa tiada jalan pintas untuk membina pasukan bola sepak yang kuat. Jepun tidak menjadi kuasa bola sepak Asia dalam tempoh singkat. Mereka membina sistem, memperkukuh akar umbi dan percaya kepada pembangunan pemain tempatan secara berterusan.
Bola sepak Malaysia juga memerlukan keberanian untuk membina semula sistem secara jujur dan telus. Jika tidak, kita akan terus bergantung kepada pemain warisan dan penyelesaian jangka pendek tanpa benar-benar menyelesaikan masalah utama.
Akhirnya, masa depan bola sepak negara bukan bergantung kepada berapa ramai pemain warisan yang kita miliki, tetapi sejauh mana kita mampu membina sistem yang melahirkan pemain berkualiti dari tanah air sendiri, kerana maruah bola sepak negara tidak boleh dibina dengan jalan pintas, tetapi melalui pembangunan yang konsisten, sabar dan berprinsip.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Muadz Amini Mustapha
Koordinator Aktiviti & Sukan
Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology