TNBMHL: Jaringan Jones pastikan kemenangan dramatik Territory Stingers

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Jaringan pada suku keempat oleh Tarrant Haami Jones memastikan Territory Stingers meraih kemenangan tipis 2-1 mengatasi Liaoning HT dalam perlawanan penuh mendebarkan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Liaoning HT membuka jaringan pada minit ke-22 menerusi Yang Peng daripada pukulan sudut penalti.
  • Zach Rakkas menyamakan kedudukan lima minit kemudian menerusi jaringan padang sebelum separuh masa.
  • Skuad bimbingan Jason Butcher bangkit bergaya dan kini menanti ujian getir menentang Maybank pada Ahad.

Gol kemenangan pada minit ke-48 itu melengkapkan kebangkitan bergaya skuad bimbingan Jason Butcher, selepas mereka dikejutkan dengan jaringan awal pasukan lawan.

Liaoning HT membuka tirai jaringan pada minit ke-22 suku kedua menerusi Yang Peng yang menyempurnakan peluang pukulan sudut penalti, selepas suku pertama berakhir tanpa sebarang gol.

Bagaimanapun, kegembiraan Liaoning HT tidak bertahan lama apabila Zach Rakkas memadam kelebihan itu lima minit kemudian menerusi jaringan padang untuk mengikat kedudukan 1-1 sebelum rehat.

Territory Stingers yang terus mempamerkan corak permainan agresif akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan pada suku masa terakhir bagi memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka.

Ujian lebih getir menanti Territory Stingers selepas ini apabila dijadualkan turun menentang Maybank pada Ahad ini.