Akhir Piala Dunia 2026: Madonna, Shakira, BTS dipilih penuhi slot persembahan separuh masa pertama

Foto REUTERS

NEW YORK, 14 Mei -Ikon pop dunia Madonna, bintang Colombia Shakira, dan kumpulan mega Kpop BTS bakal mengukir sejarah apabila dipilih menjayakan persembahan separuh masa pada perlawanan akhir Piala Dunia di Stadium MetLife, New Jersey pada 19 Julai depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Chris Martin dari Coldplay dipilih sebagai kurator untuk mengendalikan persembahan separuh masa.
  • FIFA berkata acara itu menyokong Dana Pendidikan FIFA Global Citizen untuk memperluas akses pendidikan dan sukan kepada kanak-kanak.
  • Piala Dunia 2026 dihoskan bersama AS, Kanada dan Mexico dengan format 48 pasukan serta 104 perlawanan dan pusingan kalah mati tambahan.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam satu kenyataan memaklumkan, konsert gergasi berkenaan akan dikendalikan sepenuhnya oleh vokalis kumpulan terkenal Coldplay, Chris Martin, yang bertindak selaku kurator persembahan.

Presiden FIFA, Gianni Infantino menerusi hantaran di media sosial berkata, acara separuh masa Piala Dunia FIFA 2026 itu bakal menjadi satu detik yang amat istimewa dalam menyatukan elemen muzik dan bola sepak demi tujuan kebajikan global.

“Bersama-sama, kita akan menyokong Dana Pendidikan FIFA Global Citizen serta membantu mewujudkan akses yang lebih meluas kepada pendidikan berkualiti dan sukan bola sepak untuk kanak-kanak di seluruh dunia,” katanya.

Kejohanan Piala Dunia 2026 yang dihoskan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico itu dijadualkan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai ini, menampilkan format baharu dengan penyertaan 48 pasukan berbanding 32 pasukan sebelum ini.

Pertambahan tersebut menyaksikan jumlah keseluruhan perlawanan meningkat kepada 104 berbanding 64 perlawanan pada edisi terdahulu, termasuk pengenalan satu lagi pusingan kalah mati tambahan.

Sebelum ini, FIFA telah menguji konsep persembahan separuh masa tersebut semasa kejohanan Piala Dunia Kelab di Amerika Utara tahun lepas, yang menampilkan barisan artis terkenal seperti rapper Amerika Syarikat Doja Cat, penyanyi Colombia J Balvin, dan bintang Nigeria Tems. – REUTERS