
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol hari ini menyangkal dakwaan pihak tertentu yang melabel bekas atlet para negara, Koh Lee Peng sebagai peminta sedekah susulan penularan satu video yang menyayat hati baru-baru ini.
- KBS merujuk Koh Lee Peng ke HKL untuk rawatan psikiatri dan memantau kesihatan mentalnya.
- Video itu disebabkan tekanan perasaan berpanjangan; beliau mengakui menghadapi beberapa episod 'mental breakdown'.
- Bantuan awal disalurkan termasuk sumbangan kewangan dan barangan keperluan asas bagi meringankan beban beliau.
Beliau turut menjelaskan tindakan bekas perenang para negara itu menjual barangan di sekitar Bukit Bintang merupakan inisiatifnya untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Mordi mendedahkan bahawa insiden Lee Peng menangis dalam video berkenaan sebenarnya berpunca daripada tekanan perasaan yang dialami atlet terbabit akibat bebanan emosi yang terlalu lama dipendam.
“Selepas bercakap dengannya tadi, beliau mengakui kejadian itu bukan kali pertama berlaku, malah sudah banyak kali terjadi.
“Beliau mengakui dirinya hanya insan biasa yang kadangkala berdepan ‘mental breakdown’ apabila terlalu banyak perkara berlaku dan tidak dapat dijelaskan atau diceritakan kepada orang lain”, katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi ziarah kebajikan bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di sini.
Susulan itu, Mordi memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengambil langkah proaktif dengan merujuk pemenang tujuh pingat emas Sukan Para ASEAN itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan pakar psikiatri.
Selain sokongan kesihatan mental, bantuan awal termasuk sumbangan kewangan dan barangan keperluan asas turut disalurkan bagi meringankan beban.
Menurut Mordi, tujuan lawatan tersebut bukan sekadar memberi bantuan tetapi untuk memahami keadaan sebenar yang dihadapi bekas atlet itu.
Sementara itu, Lee Peng yang kelihatan sebak menzahirkan penghargaan atas keprihatinan yang diberikan oleh pihak kementerian dan orang ramai.
” Terima kasih kepada semua yang bantu saya, harap-harap Tuhan sahaja yang bantu balas jasa semua, terima kasih banyak-banyak”, ujarnya.
Lee Peng sebelum ini mengharumkan nama Malaysia dengan merangkul tujuh pingat emas dan tiga perak sepanjang penampilannya di temasya Sukan Para ASEAN.