
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Setiap peruntukan dan bantuan kerajaan perlu dinilai berdasarkan keberkesanannya dalam meningkatkan pendapatan bersih petani, pekebun dan nelayan.
- Kejayaan peruntukan tidak diukur hanya melalui bilangan program atau jumlah peruntukan.
- Setiap bantuan mesti disusuli mekanisme pengukuran jelas, terutamanya pengurangan kos pengeluaran.
- Sektor agromakanan terdedah kepada ketidaktentuan pasaran global, kenaikan harga input dan gangguan cuaca.
- Belanjawan 2027 serta pelaburan teknologi dan infrastruktur perlu menjadi pemangkin; subsidi penting ringankan kos operasi.
Timbalan Pengarah Bahagian Pengembangan Pertanian, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Norsida Man berkata, kejayaan peruntukan kerajaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan atau dana yang dibelanjakan semata-mata.
“Keberkesanan Belanjawan 2027 tidak harus diukur dari segi bilangan program atau jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya bagaimana ia diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan dan kesejahteraan pesawah, nelayan serta penternak. Kesan positif inilah yang mahu kita capai,
“Langkah menyalurkan peruntukan tanpa menilai keberkesanannya adalah kurang wajar. Sebaliknya, setiap bantuan perlu disusuli dengan mekanisme pengukuran yang jelas, terutamanya dari segi peningkatan pendapatan bersih serta pengurangan kos pengeluaran petani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini hari ini.
Menurut Dr Norsida, sektor agromakanan negara sentiasa terdedah kepada pelbagai cabaran luar seperti ketidaktentuan pasaran global, kenaikan harga input pertanian, dan gangguan cuaca.
Sehubungan itu, peruntukan Belanjawan 2027 berjumlah RM6.92 bilion yang merangkumi pembiayaan, penyediaan teknologi, serta sokongan produktiviti tanaman wajar berfungsi sebagai medium pemulihan dan pemodenan sektor tersebut.
Dalam pada itu, sokongan bantuan segera seperti subsidi sangat penting bagi meringankan beban kos operasi harian.
Pelaburan dalam infrastruktur dan teknologi pula dilihat sebagai pemangkin dalam usaha menjamin kelangsungan serta keuntungan sasar untuk jangka masa panjang.