
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada jaguh olahraga para negara Datuk Abdul Latif Romly yang merangkul pingat emas buat kali keempat berturut-turut dalam acara lompat jauh T20 lelaki di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
- Perdana Menteri mengucapkan tahniah dan memuji semangat kental Datuk Abdul Latif meskipun kurang sihat.
- Anwar menyeru atlet negara terus berjuang, kekal fokus dan berikan yang terbaik untuk mengharumkan nama Malaysia.
- Abdul Latif mencatat lompatan terbaik 7.39 meter untuk mengesahkan kejuaraan yang dimenanginya sejak 2014.
- Kejayaannya menyumbang pingat emas ketiga buat kontinjen Malaysia di temasya Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
Beliau menerusi hantaran Facebook memuji semangat kental atlet negara itu kerana tetap memberikan aksi terbaik bagi mempertahankan kejuaraannya meski berdepan keadaan kesihatan yang kurang memuaskan.
“Alhamdulillah, Malaysia raih emas ketiga! Tahniah Datuk Abdul Latif Romly yang meraih pingat emas buat kali keempat berturut-turut dalam acara lompat jauh T20 lelaki di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
“Saudara Abdul Latif memperlihatkan daya juang luar biasa apabila tetap memberikan yang terbaik meskipun kurang sihat, hingga berjaya mengekalkan kejuaraan. Semangat saudara membanggakan kita semua!” menurut hantaran Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada Perdana Menteri turut memberikan kata-kata semangat kepada barisan atlet negara untuk meneruskan perjuangan memburu kejayaan pada temasya tersebut.
“Kepada atlet-atlet negara yang lain, teruskan berjuang, kekal fokus dan berikan yang terbaik. Ayuh terus melakar kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia!” tambah kenyataan itu.
Pada aksi di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium, Datuk Abdul Latif mencatat lompatan terbaik 7.39 meter (m) untuk mengesahkan kejuaraan yang dimenanginya sejak edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia Datuk Abdul Latif mencipta rekod dunia dengan catatan 7.67m dan meraih emas pada edisi tersebut. Beliau juga mempertahankan pingat emas yang dimiliki pada edisi 2022 di Hangzhou, China.
Kejayaan Datuk Abdul Latif pada temasaya itu terus menyumbang pingat emas ketiga buat kontinjen negara.