Ekonomi tidak menentu, mengapa ‘doom spending’ masih berlaku

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Doom spending ialah pembelian impulsif untuk mengurus tekanan, memberi kelegaan sementara tetapi memburukkan keadaan kewangan jangka panjang.
  • Media sosial, pembayaran digital dan strategi pemasaran memudahkan impuls membeli, menormalisasi pembaziran terutama ketika ekonomi tidak menentu.
  • Perbelanjaan tidak terkawal menyebabkan hutang meningkat, simpanan susut, dan kitaran rasa bersalah serta pembelian untuk mengubati penyesalan.
  • Langkah praktikal: tunda pembelian, jejak perbelanjaan, tetapkan matlamat realistik dan cari cara sihat urus tekanan seperti senaman.

Apabila ekonomi berada dalam keadaan tidak menentu, nasihat seperti “berjimat cermat” dan “lebihkan simpanan” sering kali diulang kepada masyarakat. Namun begitu, apa yang berlaku hari ini kelihatan bertentangan.

Ramai individu memilih untuk berbelanja lebih banyak, sebagai cara untuk melepaskan tekanan dan kebimbangan yang mereka rasai.

Tingkah laku ini dikenali sebagai doom spending, iaitu kecenderungan untuk membeli sesuatu secara impulsif atau tanpa keperluan, bagi mendapatkan kepuasan sementara ketika berdepan tekanan hidup atau rasa bimbang terhadap masa depan.

Fenomena ini semakin ketara pada masa kini disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup dan pengaruh media sosial.

Mengapa Kita Berbelanja Ketika Tertekan

Pada asasnya, doom spending berkait dengan keinginan untuk mengawal keadaan. Apabila seseorang berasa bimbang berkaitan ketidakpastian dalam hal seperti kestabilan pekerjaan atau ketidaktentuan keadaan ekonomi, mereka cenderung mencari ketenangan melalui aktiviti yang membawa kepuasan segera.

Akibatnya, pembelian barangan seperti pakaian, gajet atau makanan, sering dijadikan medium untuk memperoleh rasa gembira sementara dan ilusi bahawa keadaan masih boleh dikawal.

Ahli psikologi melihat tingkah laku ini sebagai satu bentuk mekanisme untuk mengurus emosi. Daripada menangani punca sebenar kebimbangan, individu memilih untuk mengurus tekanan emosi melalui perbelanjaan.

Namun begitu, kelegaan yang diperoleh hanyalah bersifat sementara. Setelah rasa teruja itu hilang, individu tersebut perlu berdepan dengan kesan kewangan akibat perbelanjaan yang telah dibuat.

Tingkah laku ini sememangnya boleh memburukkan lagi tekanan kewangan individu kerana perbelanjaan yang tidak terkawal akan menyebabkan hutang bertambah, manakala simpanan semakin berkurangan.

Ia juga mewujudkan kitaran bersalah dan penyesalan, di mana individu berbelanja semula untuk melegakan perasaan negatif akibat perbelanjaan sebelumnya, menjadikan masalah kewangan mereka semakin berlarutan.

Peranan Budaya Pengguna Moden

Persekitaran moden hari ini menjadikan fenomena doom spending semakin mudah berlaku. Dengan hanya beberapa klik pada peranti, pembelian boleh dilakukan dalam beberapa saat sahaja.

Tambahan pula, penggunaan sistem pembayaran digital seperti e-wallet, kad debit, dan kaedah buy now, pay later telah mengurangkan rasa kehilangan wang secara fizikal, sekaligus menjadikan perbelanjaan terasa lebih mudah dan kurang disedari.

Media sosial turut menjadi faktor yang mempercepatkan penularan budaya ini. Setiap hari, pengguna media sosial disajikan dengan paparan gaya hidup yang kelihatan sempurna seperti percutian mewah, fesyen terkini, dan makanan estetik yang secara tidak langsung mewujudkan tekanan kepada individu lain untuk turut memiliki pengalaman yang sama.

Walaupun ramai menyedari bahawa kandungan tersebut telah diperindahkan, kesannya terhadap emosi dan corak perbelanjaan tetap sukar dielakkan, khususnya ketika individu berada dalam keadaan tertekan atau tidak pasti tentang masa hadapan.

Selain itu, tren di internet dan platform digital juga bertindak sebagai penyokong kepada fenomena ini. Istilah seperti YOLO (You Only Live Once), girl math, dan slogan seperti “Allah bersama Gen Z” sering digunakan secara santai untuk menormalisasikan perbelanjaan impulsif atau pembelian yang tidak perlu.

Walaupun sebahagiannya bersifat gurauan dalam media sosial, budaya sebegini sememangnya boleh mempengaruhi cara generasi muda menilai perbelanjaan.

Dalam masa yang sama, strategi pemasaran masa kini seperti “tawaran terhad”, “jangan lepaskan peluang”, atau “anda layak mendapatkannya” turut mendorong pembelian secara impulsif. Strategi ini menjadi lebih berkesan terhadap individu yang sedang dalam emosi yang rapuh atau tertekan.

Ketidaktentuan Ekonomi sebagai Pencetus

Tanpa kita sedari, ketidakstabilan ekonomi telah memberi kesan besar kepada tingkah laku individu. Apabila masa depan kelihatan tidak pasti, perancangan jangka panjang dilihat kurang penting. Akibatnya, menyimpan untuk masa depan mungkin terasa sia-sia jika keyakinan terhadap masa depan itu sendiri adalah rendah.

Keadaan ini boleh mendorong pendekatan “hidup untuk hari ini.” Jika esok tidak pasti, berbelanja hari ini terasa lebih munasabah. Pemikiran seperti ini sebenarnya boleh menjejaskan kestabilan kewangan kita secara perlahan.

Usaha Memutuskan Kitaran Ini

Memahami doom spending adalah langkah pertama untuk mengatasinya. Daripada melihatnya sebagai kegagalan mendisiplinkan diri, lebih baik kita melihatnya sebagai tindak balas terhadap tekanan emosi dan persekitaran.

Antara langkah praktikal yang boleh membantu kita untuk mengatasi doom spending adalah seperti berikut:

1. Berhenti seketika sebelum membeli
Ini kerana penangguhan ringkas boleh mengurangkan tindakan impulsif.

2. Jejak perbelanjaan kita
Kesedaran untuk merekodkan semua perbelanjaan kita akan membawa kepada keputusan kewangan yang lebih baik.

3. Tetapkan matlamat kewangan yang realistik
Tindakan ini boleh mengembalikan rasa kawalan terhadap urusan kewangan kita.

4. Cari cara lain untuk mengurus tekanan
Bersenam, meluangkan masa bersama orang tersayang, atau melakukan hobi yang mudah boleh memberi kelegaan segera tanpa melibatkan kos yang tinggi.

Yang penting, kesejahteraan kewangan bukan hanya tentang angka, tetapi juga tentang cara kita berfikir. Kesejahteraan kewangan individu boleh dibina dengan adanya kesedaran emosi, perancangan yang baik dan tindakan yang munasabah.

Cerminan Zaman Kini

Doom spending bukan sekadar isu peribadi, tetapi ia mencerminkan keadaan masyarakat secara menyeluruh.

Apabila ketidaktentuan menjadi kebiasaan, manusia menyesuaikan diri dengan cara yang memberi keutamaan kepada keselesaan jangka pendek berbanding kestabilan jangka panjang.

Memahami fenomena ini bukan bermaksud kita perlu berhenti berbelanja sepenuhnya kerana berbelanja merupakan sebahagian daripada proses menikmati kehidupan.

Kuncinya adalah menyeimbangkan keselesaan hari ini dengan tidak mengorbankan masa depan supaya tidak menjadi seperti yang dikatakan oleh pepatah, “menang sorak, kampung tergadai”.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Norlita Zainudin
Pensyarah Jabatan Ekonomi dan Kewangan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: norlita@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.