Bank tempatan tawar kemudahan bantuan kepada PMKS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 14 MEI – Agrobank menawarkan inisiatif bantuan kewangan tambahan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SME SRF).

RINGKASAN BERITA AI
  • Sektor keutamaan: pembinaan, pertanian dan rantaian agromakanan, logistik dan pengangkutan serta pelancongan.
  • Pembiayaan sehingga RM750,000, tempoh hingga lima tahun, kadar maksimum 3.75% setahun, jaminan sehingga 80% oleh CGC atau SJPP.
  • Permohonan SME SRF dibuka 15 Mei 2026 hingga 31 Disember 2026 atau sehingga dana digunakan sepenuhnya.

Presiden Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kemudahan berjumlah RM5 bilion di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) itu merupakan pendekatan strategik dalam memastikan kesinambungan operasi perniagaan serta kestabilan sektor ekonomi kritikal.

Beliau berkata, sektor-sektor yang diberikan keutamaan di bawah SME SRF merangkumi pembinaan, pertanian dan rantaian bekalan agromakanan, logistik dan pengangkutan serta pelancongan.

Langkah itu akan memastikan sektor-sektor strategik yang menjadi pemacu ekonomi negara terus berdaya tahan dan mampan.

Presiden Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin – Foto Agrobank

“Sebagai institusi kewangan pembangunan yang memfokuskan sektor agromakanan, Agrobank memahami cabaran yang dihadapi oleh usahawan, khususnya dalam menghadapi tekanan krisis bekalan global dan konflik geopolitik yang menjejaskan
rantaian bekalan dunia.

”Kami menyokong penuh usaha kerajaan dalam memastikan sokongan kewangan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,”
katanya.

Sementara itu, MBSB Bank Bhd menyifatkan SME SRF sebagai intervensi proaktif yang menyediakan penampan tunai penting bagi perniagaan yang berdepan dengan gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos operasi.

Ketua Pegawai Perbankan Komersial Kumpulannya Noor Mohamed Amin Mohamed berkata, pihaknya komited untuk memastikan PKS yang layak menerima sokongan kewangan segera yang diperlukan.

”Langkah itu bagi mengekalkan kelangsungan perniagaan agar lebih berdaya tahan walaupun dalam keadaan pasaran yang tidak menentu ketika ini.

”Seiring dengan usaha industri untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan, MBSB Bank turut memperkemas proses penilaian kreditnya bagi memastikan perniagaan yang terkesan menerima bantuan tepat pada masanya,” katanya.

PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM750,000 untuk tempoh sehingga lima tahun pada kadar pembiayaan maksimum 3.75 peratus setahun, termasuk yuran jaminan.

Pembiayaan ini disokong dengan jaminan sehingga 80 peratus daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP).

Permohonan untuk SME SRF akan dibuka mulai 15 Mei, 2026 sehingga 31 Disember 2026 atau sehingga dana tersebut digunakan sepenuhnya.