
GEORGE TOWN, 5 Jun – Sebanyak 597 notis kesalahan merokok telah dikeluarkan di kawasan Tapak Warisan Dunia George Town sejak 2022 menerusi 114 operasi penguatkuasaan yang dijalankan bagi memastikan kawasan awam kekal bersih, sihat dan selesa untuk semua pengunjung.
- Peningkatan notis kesalahan merokok tahun ini menunjukkan penguatkuasaan berterusan dan komitmen kerajaan negeri meningkatkan pematuhan zon larangan merokok.
- Program PENBAR negeri dilancarkan dengan penglibatan kira-kira 70 anggota penguatkuasa Jabatan Kesihatan untuk pemantauan dan tinjauan.
- Usaha bertujuan mendidik awam, melindungi orang ramai daripada asap rokok dan memelihara imej George Town sebagai destinasi warisan bersih.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berkata, meskipun jumlah notis yang dikeluarkan tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu, penguatkuasaan berterusan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan tahap pematuhan terhadap larangan merokok di tempat awam.
“Pada 2025, sebanyak 106 notis kesalahan telah dikeluarkan. Namun, tahun ini menunjukkan peningkatan apabila setakat ini sebanyak 127 notis telah dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan, melebihi jumlah yang direkodkan tahun lalu.
“Pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan, dan kami berharap orang ramai, khususnya pengunjung yang datang ke Tapak Warisan Dunia ini, lebih peka bahawa kawasan tersebut merupakan zon larangan merokok,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pelancaran Bahan Promosi dan Tinjauan Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (PENBAR) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 di sini yang turut melibatkan kira-kira 70 anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.
Usaha tersebut bukan sahaja bertujuan menguatkuasakan undang-undang, malah mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan awam, melindungi orang ramai daripada pendedahan kepada asap rokok serta memelihara imej George Town sebagai destinasi warisan dunia yang bersih dan mesra pengunjung.
Selain Tapak Warisan Dunia, Taman Perbandaran, Taman Botani, Empangan Air Itam, Empangan Mengkuang, Taman Bandar Ampang Jajar dan Empangan Teluk Bahang juga merupakan zon larangan merokok bawah Akta 852.