
GEORGE TOWN, 5 Jun – Orang ramai digesa supaya segera membuat laporan polis dan tidak menunggu terlalu lama sekiranya menyedari diri menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian.
- Digital Penang sentiasa menganjurkan kelas dan program kesedaran mengenai penipuan dalam talian.
- Inisiatif DahDigital termasuk kelas bulanan untuk meningkatkan literasi digital dan kesedaran penipuan kewangan dalam talian.
- Tindakan pantas dalam 24 jam kritikal supaya pihak berkuasa boleh menyekat dan membekukan akaun yang terlibat.
- Kes 'Fast Loan' tunjuk mangsa diugut dan diperas untuk menyerahkan hampir RM400,000 walaupun pinjaman asal sekitar RM20,000.
Amaran tegas itu disuarakan EXCO Pengangkutan, Infrastruktur dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, yang menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap penipuan dalam talian serta mengingatkan individu yang terklik pautan mencurigakan atau mula menerima ugutan agar segera mendapatkan bantuan dan perlindungan daripada pihak berkuasa.
“Di Pulau Pinang, Digital Penang sentiasa menganjurkan kelas dan program kesedaran mengenai penipuan dalam talian. Malah, setiap bulan kami mengadakan program kesedaran awam yang memberi tumpuan khusus kepada penipuan kewangan dalam talian.
“Melalui program DahDigital, pelbagai inisiatif literasi digital dilaksanakan dan antaranya ialah kelas bulanan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penipuan kewangan dalam talian,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Menurutnya, tindakan pantas dalam tempoh 24 jam adalah kritikal bagi membolehkan pihak berkuasa menyekat dan membekukan akaun bank terlibat sebelum wang dilarikan penjenayah. Ia susulan satu kes sindiket ‘Fast Loan’ yang melibatkan penduduk Tanjong Bungah baru-baru ini.
Dalam kes tersebut, mangsa bukan sahaja kerugian, malah diugut dan diperas ugut sehingga menyerahkan wang hampir RM400,000 walaupun pinjaman asalnya hanya sekitar RM20,000 dan sudah pun dilunaskan.